Partime Job

Thursday, 15 March 2012

Bekas kakitangan awam dijel


KOTA BHARU - Seorang bekas kakitangan awam menerima padah kerana akhirnya taktik berpura-pura digunakan menjerat dirinya sendiri kerana merompak dan mendatangkan kecederaan terhadap seorang warga emas, 5 Mac lalu.

Hakim Mahkamah Se­syen, Azman Mustapha semalam menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara dan lima sebatan terhadap Mohd Khairuddin Mohd Shaffilin, 39, yang berkuat kuasa dari tarikh tangkapan pada hari sama selepas mengaku bersalah melakukan perkara tersebut di Kampung Jerus Bukit Jawa, Selising di Pasir Puteh.

Mengikut pertuduhan Mohd Khairuddin melakukan rompakan terhadap harta milik seorang warga emas berumur 72 tahun iaitu sebuah motosikal Honda EX5 bernilai RM2,000 dan mendatangkan kecederaan kepada mangsa.

Oleh itu, tertuduh didapati bersalah mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan dikenakan denda dan sebat.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh menahan motosikal mangsa yang ketika itu dalam perjalanan dari rumahnya untuk membeli limpa lembu dan diminta menumpangkannya ke stesen minyak berdekatan.

Tertuduh memberitahu dia kehabisan minyak dan mangsa menumpangkannya, bagaimanapun bapa kepada dua anak yang dari Taman Sri Kalong, Ketereh itu enggan turun ketika diminta oleh pengadu setelah sampai.

Sebaliknya tertuduh, meminta mangsa masuk semula ke jalan kampung dan setelah sampai separuh perjalanan Mohd Khairuddin mematikan enjin motosikal lalu merampas kuncinya.

Kemudiannya, tertuduh mengacukan pisau lipat ke perut dan leher pengadu sebelum berlakunya pergelutan sehingga menyebabkan mangsa mendapat luka kecil serta merompak motosikal terbabit.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam sebelum itu meminta mahkamah meringankan hukumannya kerana masih mempunyai isteri serta dua anaknya masih bersekolah.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Azhari mohon hukuman setimpal diberikan kepadanya bagi menggambarkan keseriusan perbuatan terbabit dan memberi pengajaran kepada tertuduh serta kesedaran masyarakat.

Katanya, ia juga menunjukkan mahkamah melindungi masyarakat daripada jenayah dilakukan dan kejadian rompakan sebegini sering berlaku.

sumber : sinarharian

No comments: