Partime Job

Friday 2 March 2012

Bantah Pemaju Letak Iklan Surau


ALOR SETAR - Tindakan pemaju Aman Central menaikkan papan iklan yang memaparkan gambar surau baru bersebelahan Madrasah Salihiah dianggap sebagai satu provokasi untuk menimbulkan kekeliruan orang ramai.

Pengerusi Badan Bertindak Selamatkan Madrasah Salihiah (BBSMS), Mansor Ahmad berkata, mereka mula menyedari kewujudan papan iklan itu sejak seminggu lalu dengan menjangka ia mendapat kebenaran Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

Bagaimanapun, setelah merujuk dengan MBAS, ternyata papan iklan itu dinaikkan tanpa mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu serta menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan anak kariah.

“Tindakan pemaju, Belleview Sdn Bhd, jelas dilihat menghina dan mengganggu perjalanan proses pengurusan mahkamah memandangkan isu saman injuksi Madrasah Salihiah masih dalam proses dan akan disebut semula pada 11 Mac ini di Mahkamah Tinggi Alor Setar.

“Saya membuat laporan di ibu pejabat polis daerah Kota Setar pada 8.47 pagi semalam meminta mereka membuat siasatan mengenainya,” katanya kepada media di Madrasah Salihiah, Tambang Badak di sini, semalam.

Mansor turut kecewa dengan Kerajaan Negeri kerana membenarkan pemaju bertindak sedemikian. Sungguhpun begitu, mereka akan terus berusaha mempertahankan tanah wakaf serta bangunan surau dari dirobohkan.

“Kami kesal pemaju dilihat sengaja meletakkan papan iklan bersebelahan Madrasah Salihiah kerana ia bukan dalam kawasan tapak cadangan pembinaan surau baru itu yang terletak hampir 13 meter dari madrasah ini.

“Difahamkan gambar reka bentuk surau baru yang tertera pada papan iklan berkenaan baru sahaja dihantar kepada MBAS pada 18 Januari lalu dan masih belum mendapat kelulusan,” katanya.

Sehubungan itu, mereka meminta MBAS lebih sensitif terhadap papan iklan dan papan tanda haram yang boleh mengganggu proses perbicaraan berlangsung di mahkamah, terutama berkaitan dengan Madrasah Salihiah.

“Kami tidak mahu orang ramai terpengaruh dengan gambaran kosong mengenai surau baru pada papan iklan itu,” katanya.

Sumber : SinarHarian

No comments: