Thursday, 15 March 2012
Asyiknya...ukukele generasi baru
Dek kecomelan dan saiznya yang begitu kecil, ukulele atau lebih dikenali 'gitar kecil' mula mendapat perhatian kalangan semua peringkat terutamanya generasi muda yang menggemari alat muzik berkenaan.
Ukulele yang menyerupai gitar itu dilihat antara alat muzik tradisional yang semakin popular sama seperti alat muzik lain seperti gambus, sape, mandolin, sitar dan banjo.
Fanatik ukulele, Ahmad Fuad Shahminan, 23, berkata, dia meminati alat muzik tersebut kerana saiznya yang begitu kecil dan mudah di bawa ke mana sahaja berbanding alat muzik yang lain.
Menurutnya, keunikan alat muzik yang mengeluarkan bunyi seakan menyerupai gabungan gitar dan banjo itu adalah antara faktor dia meminati ukelele semenjak dari kecil lagi. Ukelele mempunyai empat tali berbeza dengan gitar yang mempunyai enam tali. Kebiasaannya ukulele mempunyai saiz di antara 53 sentimeter (cm) hingga 76cm yang dibezakan menerusi empat saiz iaitu soprano, concerto, tenor dan baritone.
Manakala soprano adalah saiz yang paling kecil manakala baritone paling besar. Bunyi yang dikeluarkan juga berbeza mengikut saiznya. Menyelusuri kegemaran anak bongsu dari tiga beradik ini terhadap ukulele, katanya, semenjak dari kecil lagi dia amat meminati bidang muzik.
Baginya, bidang muzik dapat menyatukan hati sesama manusia di samping dapat mengembangkan minda dan daya ingatan seseorang untuk menjadi lebih kuat. Ekoran banyaknya alat muzik yang lahir, Ahmad Fuad mula mengenai pasti yang mana satu mampu membuatkan dirinya berasa gembira sepanjang masa. Sepanjang pencariannya itu, dia terpandang koleksi alat muzik ukulele ketika asyik melayari blog di laman sesawang. Timbul hasrat hati untuk mengenali lebih lanjut tentang ukulele tersebut.
“Satu demi satu, saya mula belajar tentangnya. Tidak kurang juga saya menimba ilmu dengan rakan. Tidak lama selepas itu saya mula menguasai ukulele secara perlahan-lahan,” katanya.
Bertambah mahir
Setelah berjaya menguasai alat muzik ukulele, Ahmad Fuad yang juga seorang pelukis bebas berkata, sepanjang masa dia akan membawa ukulele kesayangannya ke mana sahaja pergi.
“Pusat beli belah, pawagam, rumah kawan, melancong atau ke mana sahaja kaki melangkah, saya tidak akan lekang dengan ukulele. Saya membawanya kerana ia mudah dibawa. Malah apabila membawanya, saya boleh berlatih bermain ukulele tanpa mengira tempat,” katanya.
Ditanya mengenai kepuasan, Ahmad Fuad berkata, mempelajari ukulule adalah kepuasan amat bernilai dalam hidupan.
“Ukulele adalah alat muzik paling mudah untuk belajar jika dibandingkan dengan alat muzik yang lain. Sepupu saya yang berusia lima tahun pun sudah pandai bermain ukulele,” ujarnya.
Menurut Ahmad Fuad, koleksi pertama ukulele yang dibeli melalui internet bernilai RM70 dan ukulele yang kedua bernilai RM400 ke atas. Untuk bermain ukulele mungkin mudah tetapi untuk mahir mengendalikannya tidak semudah yang disangka.
“Walaupun cara memainkannya mirip kepada gitar, tidak semua individu yang mahir bermain alat muzik itu mampu bermain ukulele dengan baik. Kedua-dua alat muzik ini mempunyai perbezaan daripada segi saiz, bentuknya dan juga cara bermain.
“Saya sendiri pun pernah berhadapan masalah sedemikian. Namun saya cepat belajar dari kesilapan. Saya sertai pemain ukulele lain. Berkumpul bersama-sama dengan mereka dan main lagu beramai-ramai. Seronok sangat rasanya. Inilah antara proses pembelajaran saya bermain ukulele,” katanya bersungguh-sungguh.
Alunan P Ramlee
Perkataan ukulele berasal dari Hawaii yang dipercayai dibawa masuk ke kepulauan itu oleh imigran dari Portugis sejak abad ke-19. Ia menjadi kegilaan masyarakat menjelang abad ke-20 seterusnya berkembang ke seluruh dunia. Seiring peredaran zaman, ukulele kini bukan hanya sesuai dimainkan mengikut genre muzik yang bersifat asli malah ia juga boleh dipelbagaikan. Pemain ukulele gemar memainkan lagu yang menjadi kegemaran ramai bagi menarik minat audiens.
Setiap kali pemain alat muzik ini mendendangkan lagu, beberapa alat muzik lain seperti gitar bass dan sejenis alat muzik yang seakan gendang, cajun turut menjadi iringan kepada persembahan ukulele. Menurut Ahmad Fuad, ukulele boleh didapati dengan harga serendah RM200 dan harga ukulele berbeza mengikut kualiti dan saiznya termasuk jenis kayu yang digunakan untuk membuat badannya.
“Kebiasaannya, ukulele diperbuat daripada kayu jenis mahogani dan spruce top yang sememangnya terkenal dengan tahap kualitinya. Daripada segi bentuknya, alat muzik ini mengalami pelbagai revolusi sehingga ada bentuknya direka menyerupai gitar,” katanya.
Tentang idola, Ahmad Fuad berkata, dia amat meminati tokoh muzik tanah air, Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan pemain ukulele profesional, Jake Shimabukuro.
“Bunyi ukulele yang dihasilkan P Ramlee sungguh harmoni dan menarik. Sebab itu saya jadikannya idola dalam bidang ini,” katanya. Bagi menyerlahkan bakat bermain ukulele, Ahmad Fuad telah menyertai Malaysia Ukulele Group (MUG), komuniti ukulele di negara ini. Saya menyertai MUG kerana mahu mengenali pemain ukulele dari seluruh negara. Juga mahu pertingkatkan prestasi dan gaya bermain ukulele,” akhirinya.
sumber : sinarharian
Labels:
Berita
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment