Wednesday, 14 March 2012
Anak terpaksa berlapar ke sekolah
TELOK EMAS - Seorang bapa yang hilang punca pendapatan selepas kemalangan, sedih melihat empat anak berusia tujuh hingga 15 tahun, ke sekolah tanpa duit belanja.
Hairuddin Muhammad, 47, dari Taman Seri Telok Emas di sini, berkata, dia tidak mampu bekerja selepas kakinya patah tiga bulan lalu, akibat kemalangan di tempat kerja.
Menurutnya, mereka sering terputus bekalan makanan dan hanya berlaukkan telur, sumbangan individu yang simpati dengan nasib mereka sekeluarga.
“Saya bimbang soal makan minum keluarga saya kerana anak terpaksa berlapar tanpa wang belanja ke sekolah. Adakala saya teringin makan lauk asam pedas tetapi isteri hanya mampu sediakan kuahnya sahaja tanpa ada ikan ataupun daging,” katanya ketika menerima kunjungan beberapa ahli Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida), Ranting Telok Emas, di sini, semalam.
Hairuddin sebelum ini bekerja sebagai tukang masak di sebuah pusat pengajian agama di Padang Temu, patah kaki selepas meleraikan sekumpulan pelajar yang bergaduh pada Disember lalu.
Hairuddin berkata, sebelum ini dia tidak berdepan sebarang masalah dengan pendapatan RM500 sebulan dan ditambag dengan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Kini hidup saya sekeluarga tak menentu. Ansuran rumah sudah tiga bulan tertunggak, begitu juga bil elektrik dan air,” katanya.
sumber : sinarharian
Labels:
Berita
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment