Partime Job

Sunday, 11 March 2012

A.Galak Hampir maut..


Wajahnya sudah sinonim dengan drama kepolisan seperti drama bersiri, Gerak Khas, Roda-Roda Kuala Lumpur dan filem Gerak Khas The Movie.

Lihat sahajalah penampilannya dengan wajah serius di tambah pula dengan lentikkan misai, pemilik nama sebenar Zakaria Ahmad, 71, mengakui dirinya lebih selesa dengan watak serius.

Lebih dikenali dengan nama samaran, A Galak, dia turut mengakui di sebalik peranan memegang watak penuh mencabar, dirinya tidak terlepas dari menghadapi cabaran dan dugaan.

Turut berkongsi pengalaman pahit semasa menjayakan drama lakonannya, lelaki berusia lebih separuh abad ini pernah menghadapi saat getir ketika menjayakan penggambaran drama, Di Sebalik Ombak.

“Ketika itu, penggambaran dilakukan di tengah laut dan saya harus melakukan adegan terjun. Tapi, belum sempat saya terjun, kapal yang kami naiki terbalik dan saya terhumban ke dalam laut.

“Akibat tidak sempat menyediakan peralatan keselamatan, saya terus terbenam ke dasar lautan. Ketika itu, saya rasa ajal saya sudah sampai. Macam-macam perkara bermain di fikiran.

“Saya cuba selamatkan diri, tapi tidak berdaya. Ternyata, umur saya masih panjang dan boleh berlakon sehingga ke hari ini,” katanya mengakui pernah tertembak dua krew ketika mengarahkan drama, Metropolitan.


Kurangkan aktiviti lakonan

Walaupun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk ‘lari’ dari tanggungjawab sebagai pelakon.

Tetapi kini, ekoran faktor usia semakin meningkat, A Galak mengakui sudah tidak segalak dulu. Kebanyakan tawaran tidak dapat dipenuhi.

“Umur dah semakin tua, nak kejar-kejar pun dah tak larat. Kalau sikit-sikit, boleh lagi, tapi kalau banyak, saya tak berani nak buat. Sekarang, saya dah kurangkan aktiviti lakonan.

“Saya perlu melalukan banyak senamrobik. Tidak perlu keluar, di rumah pun boleh buat,” katanya yang kini muncul dalam drama bersiri komedi pertamanya, Sopi Sekuriti.

Menerusi drama terbitan Skop Production itu, A Galak memegang watak Yahya, bapa kepada Laila (Sazzy Falak) yang juga ketua pengawal keselamatan.

Pertama kali menjayakan watak komedi, A Galak mengakui dirinya agak canggung.

“Memang sukar nak pegang watak komedi sebab saya tidak pandai untuk jadi buat lawak.

“Setelah mendapatkan pandangan penerbit drama, Datuk Yusof Haslam, saya sahut cabaran ini. Mula-mula memang susah, tapi kelamaan saya boleh lakukan.

"Saya rasa watak itu tidak komedi sangat. Tapi, kerana terikut dengan pelakon lain, saya boleh melawak secara spontan,” katanya.


Bernaung di bawah Skop Production

Mengimbau kembali sejarah penglibatan dalam industri seni, A Galak mengakui darah seni terus mengalir dalam dirinya.

“Saya tidak berimpian untuk jadi pelakon. Saya mula menceburkan diri dalam industri seni sebagai krew. Saya bekerja di bahagian mekap untuk lelaki.

“Selain itu, saya turut diselitkan sebagai pelakon tambahan dalam filem, Lampung Karam dan Aksi Kucing. Bukan sahaja pelakon tambahan, saya pernah menjadi penari untuk sesetengah babak.

“Apabila Studio Jalan Ampas ditutup pada 1960, saya mencuba pelbagai kerja. Saya menyertai Persatuan 4PM dan Persatuan Ali Fiji sebagai penari dan mengadakan persembahan di Singapura,” katanya sehinggalah dipertemukan dengan, Datuk Aziz Sattar yang ketika itu mengendalikan syarikat, Indra Film.

Katanya, Aziz mempelawanya bekerja sebagai penjaga kontinuiti untuk filem Setinggan, pada 1984. Pada waktu yang sama, Deddy M Borhan dari Sabah Film menawarkan berlakon dalam filem Azura.

“Selepas Azura, saya diberi peluang muncul dalam filem Darah Satria. Namun, ketika itu, saya masih belum dikenali sehinggalah, pemilik Skop Production, Datuk Yusof Haslam memanggil saya untuk bekerja dengannya.

“Ternyata percaturan saya tidak sia-sia. Datuk Yusof membuka banyak peluang kepada saya untuk terus berlakon. Bukan sahaja dalam bidang lakonan, malah Datuk Yusof memberi tunjuk ajar dalam bidang pengarahan.

“Saya selesa bersama Datuk Yusof sehingga ke hari ini. Saya hanya berlakon untuk karyanya sahaja kerana Datuk bukan sahaja pengarah yang baik, malah dia adalah sahabat saya,” katanya yang pernah mengarah drama Debu-Debu Kota Raya dan Remang-Remang Kota Raya

sumber : sinarharian

No comments: