GURUN - Seramai 400 pekerja sebuah kilang pengeluaran besi keluli di sini bimbang dengan nasib yang bakal menimpa mereka setelah dimaklumkan oleh majikan bahawa kilang itu mungkin ditutup.
Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja Perusahaan Logam di kilang itu, Azmi Ahmad, berkata pengurusan kilang telah memberi cuti bergaji kepada pekerja berkuatkuasa 5 Mac lepas sehingga 20 Mac ini, dan selepas itu mereka diberitahu kemungkinan akan ada pemberhentian pekerja ataupun penutupan kilang.
"Notis suruh cuti bekerja ini pun mereka tidak beritahu awal, semua pekerja dapat tahu pada hari datang bekerja 5 Mac itu yang ditampal di pondok pengawal sahaja. Alasannya ialah syarikat tengah buat penyusunan semula. Pada petang 5 Mac itu kesatuan ada terima satu memo daripada pihak kilang
yang mengatakan dua perkara akan berlaku iaitu selepas 20 Mac kilang mungkin buang pekerja ataupun ditutup terus," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Azmi berharap pihak kilang terbabit tidak melakukan sebarang pembuangan pekerja ataupun menutup operasinya kerana tidak mahu pekerja tertindas kerana kebanyakan mereka, termasuk beliau, telah berbelas-belas tahun berkhidmat di situ.
Penolong Setiausaha Kesatuan Pekerja-pekerja Perusahaan Logam kilang itu Bokhari Ali berkata mereka dimaklumkan oleh pihak kilang itu secara lisan bahawa wang pampasan yang bakal diterima selepas diberhentikan nanti akan dipotong RM10,000 kerana isu perumahan yang dibina oleh pengurusan kilang terdahulu di kawasan kilang tersebut belum selesai.
Pegawai Perhubungan Perindustrian dari Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia\ kawasan utara V.Vijayan pula berkata beliau berharap pihak kilang berkenaan tidak melaksanakan tindakan sedemikian kerana ia mampu memberi masalah serius kepada pekerja.
"Jika satu keluarga, kita ambil purata lima orang, jumlah 2,000 orang punya masalah ini jika kilang tutup operasi. Maka tindakan penutupan ini tidak seharusnya dijalankan," katanya.
Vijayan berkata pihak kilang juga tidak memberi alasan kukuh berhubung isu untuk memberhentikan pekerja ataupun menutup kilang kerana pengurusan kilang hanya memberitahu terdapat masalah kewangan namun tidak menunjukkan sebarang bukti mahupun dokumen untuk mengesahkan masalah itu.
Pengurusan kilang terbabit ketika dihubungi Bernama enggan mengulas. - Bernama

No comments:
Post a Comment