Partime Job

Monday 27 February 2012

Risiko Kehamilan Tanpa Perancangan


“SUAMI keberatan hendak membenarkan saya menggunakan kaedah perancang keluarga. Tidak kira sama ada pil, suntikan, implan atau cara lain. Alasannya buat apa hendak memasukkan benda asing ke dalam badan, bimbang nanti ada kesan sampingan kerana kebanyakan kaedah mengandungi hormon.

“Katanya dia masih mampu menanggung keluarga kalau saya mengandung lagi. Cuma bagi saya cukuplah dengan apa yang ada, ini pun sudah tidak terkawal rasanya.
Pernah juga terfikir untuk buat diam-diam, tetapi saya tetap rasa takut. Apatah lagi apabila dengar macam-macam cerita daripada kawan yang menggunakan kaedah perancang keluarga,” keluh seorang teman, ibu empat anak yang mengandung setiap tahun.

Antara cerita yang didengar ialah kesan sampingan seperti peningkatan berat badan, jerawat, sakit kepala, haid yang banyak dan lama sehingga berbelas hari.
Malah ada pula kawannya yang mengeluh apabila haid terlalu sedikit, risau ia juga akan menyebabkan penyakit lain terutama kanser apabila darah tidak keluar seperti sepatutnya.


Salah faham mengenai kaedah perancangan keluarga memang berlaku di seluruh dunia tidak kira negara maju, membangun atau miskin. Salah faham dan kekurangan akses terhadap kaedah perancangan keluarga mengakibatkan ramai menggunakan kaedah pencegahan kehamilan tradisional yang diwarisi turun temurun tetapi tidak berkesan.


Risiko daripada salah faham dan kurang pengetahuan ini ialah kehamilan yang tidak dirancang. Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 208 juta kehamilan berlaku di seluruh dunia pada 2008. Daripada jumlah ini, 41 peratus atau 86 juta adalah kehamilan yang tidak ‘disengajakan’ dengan 33 juta kelahiran tidak dirancang dan 11 juta wanita mengalami keguguran.

Sedihnya, 41 juta kehamilan di seluruh dunia berakhir dengan pengguguran dan 50 peratus daripadanya dilakukan dalam keadaan tidak selamat yang kebanyakannya berlaku di negara membangun.

Nasib bayi yang tidak dikehendaki kelahirannya seperti di negara kita lebih menyedihkan kerana ada ditinggalkan di tandas, tepi jalan, longkang atau dibuang di longgokan sampah. Bagi bayi yang lebih baik nasibnya akan dibiarkan di hospital, diletakkan di depan rumah, surau, masjid atau mana-mana tempat yang dikunjungi orang.

Kejahilan kita mengenai kaedah selamat perancangan keluarga atau pencegahan kehamilan ini jugalah yang membuatkan 152,182 anak luar nikah dilahirkan dari 2008 hingga 2010 seperti direkodkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Menurut Dr Anneliese Schwnekhagen daripada Pusat Endokrinologi Ginekologi dan Perubatan Reproduktif, Jerman, kebanyakan kehamilan yang tidak dirancang di kalangan remaja berlaku pada perempuan muda berumur 15 hingga 19 tahun. Lebih muda umur ketika hamil, risiko kehamilan dan kelahiran lebih tinggi malah boleh membawa kepada kematian.

Katanya, kehamilan tidak dirancang ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu 60 peratus kehamilan berlaku pada masa yang salah (lebih cepat daripada yang diinginkan) dan 40 peratus pula kehamilan yang tidak dikehendaki langsung (tidak sepatutnya terjadi).

“Ada banyak sebab berlakunya kehamilan tidak dirancang. Berdasarkan maklumat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, antara puncanya ialah kekurangan perkhidmatan dalam perancangan keluarga khususnya di Afrika, Selatan Amerika dan Asia.
Kemiskinan dan kekurangan pendidikan menyebabkan banyak berlakunya kehamilan yang tidak dirancang.

“Pun begitu, tidak bermakna di negara maju tidak berlaku masalah kehamilan yang tidak dirancang. Perkara ini masih menjadi isu penting di seluruh dunia walaupun kita sudah ada pelbagai kaedah kontraseptif (pencegahan kehamilan) yang berkesan dan selamat.

“Biasanya kehamilan tidak dirancang di negara maju disebabkan kegagalan kaedah pencegahan kehamilan, cara penggunaan yang tidak konsisten atau salah selain faktor sosio ekonomi, budaya, politik, undang-undang serta penerimaan masyarakat,” katanya pada Persidangan Kontraseptif Asia Pasifik anjuran Merck Sharp & Dohme (MSD) di Bangkok, Thailand, baru-baru ini.

Menurutnya, kehamilan yang tidak dirancang ini memberi kesan besar terhadap sosio ekonomi sesebuah negara. Contohnya di Filipina, sebanyak 3.9 juta peso (RM275,000) untuk pembiayaan kos penjagaan perubatan.

“Lebih membimbangkan ialah pengguguran anak dengan cara tidak selamat sama ada dilakukan oleh orang yang tidak bertauliah, dalam keadaan tidak steril atau menggunakan peralatan yang boleh mengundang risiko dan membahayakan nyawa.
Malah pengguguran kehamilan bukan saja berlaku di kalangan wanita bujang malah membabitkan wanita yang sudah berkahwin atas pelbagai sebab.

“Di seluruh dunia dianggarkan 529,000 wanita meninggal dunia setiap tahun atas pelbagai punca yang berkaitan dengan kehamilan dan 20 juta wanita pula mengalami komplikasi kehamilan seperti pengguguran, pendarahan, tekanan darah tinggi dan pembentukan darah beku.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana sekarang sudah ada pelbagai kaedah pencegahan kehamilan yang berkesan dan selamat. Pendidikan dan kesedaran mengenai wujudnya kaedah perancangan keluarga ini boleh mengurangkan 22 juta kes kehamilan yang tidak dirancang,” katanya.


Kaedah

Kontraseptif adalah kaedah pencegahan berlakunya persenyawaan antara telur dan sperma. Ia juga mencegah telur yang sudah disenyawakan daripada melekat pada dinding rahim yang seterusnya menyebabkan kehamilan.

Secara umumnya pencegahan kehamilan ini boleh dibahagikan kepada empat iaitu:
Kaedah halangan - Contoh�nya kondom (lelaki atau wanita), span (span berbentuk donut mengandungi spermisid iaitu bahan yang membuatkan sperma tidak aktif), diafragma, penutup servik atau rahim atau pelindung rahim. Semuanya mengandungi spermisid.

Alat dalam rahim tanpa hormon - Alat ini dimasukkan ke dalam rahim oleh doktor. Ia dibuat daripada kuprum di mana sejumlah kecil kuprum akan dikeluarkan setiap hari. Kuprum ini akan menghalang sperma daripada sampai ke telur dan telur yang sudah tersenyawa tidak boleh melekat pada dinding rahim.

Kontraseptif berhormon - Ada banyak jenis seperti cincin vagina, implan, pil perancang, suntikan, alat dalam rahim dan tampalan pada kulit. Dalam kaedah ini, hormon akan dibebaskan pada kuantiti tertentu untuk mencegah ovari daripada mengeluarkan telur. Ia juga akan menyebabkan perubahan pada lapisan endometrium (pada dinding rahim) dan mukus (cecair) dalam rahim bagi mengelakkan sperma daripada bersatu dengan telur. Hormon yang dimaksudkan ialah estrogen dan progestin (sama dengan progesteron yang wujud secara semula jadi dalam badan wanita).

Kontraseptif berhormon boleh mengandungi satu jenis hormon saja (progestin) atau kedua-duanya. Perbezaan dalam kaedah ini ialah jenis hormon yang digunakan, tempoh dan bagaimana hormon dikeluarkan (jangka pendek atau panjang).

Ada yang memberi perlindungan pendek seperti pil yang perlu diambil setiap hari, tampalan (seminggu sekali), cincin vagina (sebulan sekali). Kaedah perlindungan jangka panjang termasuk suntikan (tiga bulan), implan dan alat dalam rahim (tiga hingga lima tahun).

Pemandulan - Ia kaedah yang memansuhkan kemampuan untuk hamil. Di kalangan masyarakat kita ia dikenali sebagai ‘kaedah ikat’ iaitu mengikat tiub fallopio (bagi wanita) dan vasektomi (ikat saluran sperma bagi lelaki). Kaedah yang dilakukan secara pembedahan tidak boleh dibalikkan, justeru perlu timbangkan semasak-masaknya dan hanya dijadikan pilihan terakhir.


Pemilihan perlindungan

Ada yang mempersoalkan, apa perlunya perlindungan kehamilan jangka panjang jika apabila sudah ada perlindungan jangka pendek? Ini disebabkan masih berlaku kehamilan apabila menggunakan kaedah jangka pendek. Secara purata sebanyak dua hingga enam peratus kehamilan berlaku di kalangan pengguna kaedah jangka pendek.

Jangan salah faham, bukan kaedah itu yang tidak berkesan tetapi kehamilan berlaku akibat sifat manusia, kata Pensyarah Klinikal Obstetrik dan Ginekologi, Universiti Sydney, Australia, Dr Edith Weisberg. Antara faktor yang menyebabkan kaedah itu dilihat kurang berkesan ialah terlupa mengambil pil, pengambilan tidak tetap atau mengikut waktu diarahkan.

Kaedah perlindungan jangka panjang mempunyai banyak kelebihan kerana wanita tidak perlu mengingatnya setiap hari yang sekali gus memberi ketenangan kepada mereka.

Pun begitu, kesesuaian jenis perlindungan ini berbeza antara wanita mengikut keperluan dan keadaan tubuh masing-masing. Justeru berbincanglah dengan doktor supaya anda dapat membuat pilihan sebaiknya. Dalam proses ini, lebih baik datang berjumpa doktor bersama pasangan supaya perkara yang penting ini dapat difahami kedua-dua pihak.

“Penggunaan kontraseptif atau perancangan keluarga adalah perkara yang membabitkan suami dan isteri. Sokongan suami sangat penting dalam hal ini.
Malah kefahaman mereka dalam perkara ini boleh membantu meningkatkan kesejahteraan rumah tangga,” kata Pengerusi Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Universiti Hospital Basel, Switzerland, Prof Johannes Bitzer.

Kefahaman mengenai kaedah kontraseptif juga akan mengelakkan timbulnya kepercayaan yang tidak berasas. Menurut Penyelia Kursus Kontraseptif dan Menopaus, Universiti New South Wales, Dr Theresa Foran, kajian di Jerman mendapati wanita mendapatkan maklumat mengenai kontraseptif daripada doktor, kawan-kawan, saudara-mara, sekolah, ibu dan media. Punca maklumat yang tidak tepat menyebabkan timbulnya banyak salah faham mengenai kaedah kontraseptif terutama pil perancang - antara kaedah paling mudah dan murah. Antara kepercayaan itu termasuk:

Kepercayaan: Hormon yang ada dalam pil akan memberi kesan buruk kepada badan.

Fakta: Hormon yang terkandung dalam pil perancang atau kaedah pencegahan kehamilan lain adalah sama dengan hormon yang ada dalam badan kita. Kebanyakan pil perancang mengandungi dua jenis hormon yang mencegah kehamilan iaitu estrogen dan progestin. Badan wanita memang menghasilkan dua jenis hormon ini ketika haid. Jadi ia tidak akan mendatangkan kesan buruk.


Kepercayaan: Pil perancang akan membuatkan saya tidak subur jika saya mengandung kelak.

Fakta: Kajian menunjukkan pil perancang tidak akan menyebabkan kemandulan atau ketidaksuburan.

Sesetengah wanita tidak sedar bahawa mereka atau pasangan sudah ada masalah ketidaksuburan sebelum mengambil pil. Kebanyakan pasangan hanya sedar masalah ini apabila mereka berusaha mendapatkan anak.

Selain itu, faktor menangguhkan kehamilan sehingga selepas umur 35 tahun menyebabkan banyak pasangan sukar mendapatkan anak. Selepas umur 35 tahun, tahap kesuburan semua wanita secara semula jadi akan menurun. Penurunan kesuburan ini bukan disebabkan oleh pengambilan pil perancang. Kesan kebanyakan jenis pil perancang akan hilang selepas 24 jam.

Inilah sebabnya pil perancang perlu diambil setiap hari untuk mencegah kehamilan. Seseorang wanita boleh hamil selepas dua hari berhenti mengambil pil perancang. Secara purata proses ovulasi tertunda dua minggu apabila seseorang wanita menghentikan pengambilan pil perancang.


Kepercayaan: Pil perancang membuatkan berat badan saya bertambah.

Fakta: Kajian membuktikan pil perancang tiada kaitan dengan pertambahan berat badan.

Ketika pil perancang mula diperkenalkan dulu, paras hormon di dalamnya sangat tinggi. Ramai saintis berasakan ia menyebabkan pertambahan berat badan wanita yang mengambilnya. Bagaimanapun kini, kandungan hormon dalam pil perancang tidak setinggi dulu dan didapati ia tidak menyebabkan pertambahan berat badan.

Ramai juga wanita tersalah anggap antara retensi air (cecair yang terkumpul dalam badan) dengan pertambahan berat badan. Retensi air akan membuatkan kita berasa lebih berat. Berita baiknya, retensi air ini akan hilang perlahan-lahan selepas pengambilan pil perancang dihentikan.


Kepercayaan: Saya rasa tidak sihat apabila mengambil pil perancang.

Fakta: Tindak balas seseorang terhadap semua jenis ubat termasuk pil perancang adalah berbeza. Apa yang dialami wanita lain tidak semestinya berlaku pada anda. Pil perancang generasi baru mengandungi tahap hormon yang rendah, ini secara tidak langsung mengurangkan kemungkinan terjadinya kesan sampingan.

Antara kesan sampingan yang biasa dilaporkan ialah rasa mual, sakit kepala dan payudara. Kesan ini akan hilang perlahan-lahan dalam satu tempoh. Anda juga mungkin pernah mendengar kesan sampingan yang lebih serius seperti pembentukan darah beku atau masalah jantung, bagaimanapun ia sangat jarang berlaku.


Kepercayaan: Pil perancang akan menjejaskan hubungan seks.

Fakta: Kebanyakan wanita yang mengambil pil perancang mendapati ia tidak memberi kesan kepada kepuasan seks mereka.

Malah satu kajian mendapati lebih ramai wanita yang berasa lebih puas selepas mengambil pil perancang. Ini mungkin disebabkan mereka berasa lebih tenang. Pil perancang adalah kaedah pencegahan kehamilan yang sangat berkesan jika diambil mengikut jadual yang ditetapkan.


Kepercayaan: Pil perancang tidak berkesan. Ramai wanita masih mengandung walaupun mengambil pil perancang sepanjang masa.

Fakta: Keberkesanan pil perancang untuk mencegah kehamilan adalah sangat tinggi iaitu 99 peratus jika diambil dengan cara yang betul.

Kebanyakan jenis pil perancang mempunyai keberkesanan sehingga 99 peratus.

Ini bermakna kemungkinan untuk hamil adalah sangat rendah iaitu satu peratus di kalangan wanita yang mengambil pil perancang dengan betul. Untuk pengetahuan anda, pil perancang perlu diambil setiap hari dan dalam tempoh yang ditetapkan.
Jika anda tertinggal satu pil atau terlewat mengambilnya, anda berkemungkinan untuk hamil.


Kepercayaan: Saya perlu berehat beberapa bulan daripada mengambil pil perancang.

Fakta: Pil perancang selamat diambil secara berterusan dan tidak perlukan masa ‘berehat’.

Tindakan ‘berehat seketika’ daripada mengambil pil perancang bukanlah tindakan bijak terutama bagi pasangan yang tidak mahu anak dalam tempoh terdekat.
Apabila anda mengambil pil perancang, badan anda akan membuat pelarasan supaya paras hormon dalam badan menjadi stabil. Jika anda berhenti dengan tujuan ‘berehat’ maka badan perlu membuat pelarasan baru.

Apabila anda menyambung lagi pengambilan pil, maka badan perlu membuat pelarasan semula. Ini menjadikan badan anda sedikit ‘haru biru’. Namun satu fakta penting yang perlu anda ketahui ialah peluang mengandung dalam tempoh berehat ini adalah tinggi.


Kepercayaan: Kitaran haid saya terganggu apabila mengambil pil perancang.

Fakta: Pil perancang sebenarnya boleh membantu memperbaiki kitaran haid.

Apabila pil perancang diambil dengan cara yang betul, kitaran haid akan distabilkan dan kedatangannya boleh dijangka setiap bulan. Kebanyakan wanita yang mengambil pil perancang mendapat haid setiap bulan seperti sepatutnya.
Malah berita baiknya ialah jumlah darah haid menjadi sedikit dan kurang sakit.


Kepercayaan: Pil perancang boleh menyebabkan kanser.

Fakta: Pil perancang boleh melindungi anda daripada beberapa jenis kanser.

Banyak kajian menunjukkan pil perancang mempunyai banyak manfaat perubatan dan ia boleh membantu mengurangkan risiko mendapat kanser tertentu. Ia boleh mengurangkan risiko mendapat kanser ovari sebanyak 34 peratus dan kanser endometrium (40 peratus).

Lebih lama anda mengambil pil perancang, maka risiko mendapat kanser ini lebih rendah. Kajian mendapati jika anda mengambil pil perancang melebihi 10 tahun, anda boleh merendahkan risiko mendapat dua kanser ini sehingga 80 peratus.

Pil perancang juga mengurangkan risiko terbentuknya sista ovari, mengalami masalah pada pelvik, fibroid dalam rahim, kehilangan ketumpatan tulang dan masalah kekurangan zat besi (anemia).


Kepercayaan: Pengguguran kehamilan lebih selamat berbanding memasukkan hormon ke dalam badan setiap hari.

Fakta: Pengambilan pil perancang jauh lebih selamat daripada pengguguran kehamilan.

Dos ubat untuk menggugurkan kehamilan adalah sangat tinggi dan proses ini mengambil masa beberapa hari. Pengguguran secara pembedahan juga ada risiko tersendiri kerana prosedur invasifnya membabitkan pelalian keseluruhan. Antara risikonya ialah pengguguran yang tidak lengkap, jangkitan, pendarahan (banyak) dan kerosakan organ dalaman.

Dianggarkan 42 juta pengguguran kehamilan berlaku di seluruh dunia setiap tahun, 20 juta daripadanya dilakukan secara tidak selamat. Ia mungkin dilakukan oleh orang yang tidak bertauliah, di tempat yang tidak bersih atau tidak mempunyai peralatan lengkap. Keadaan ini menyebabkan 70,000 wanita meninggal dunia dan lima juta lagi hilang keupayaan.


Kepercayaan: Kaedah yang saya gunakan membuatkan haid saya sedikit atau tidak datang langsung. Saya bimbang jika ia terkumpul dalam rahim dan menyebabkan penyakit.

Fakta: Ramai wanita anggap pengeluaran darah haid yang banyak itu baik. Malah ramai juga menganggap kedatangan haid setiap bulan itu sebagai satu kemestian.

Penggunaan kaedah perancangan keluarga seperti sistem dalam rahim (IUS) yang mengeluarkan hormon setiap bulan akan menipiskan lapisan endometrium. Secara semula jadi lapisan dinding ini akan menebal, tertanggal dan keluar sebagai haid jika kehamilan tidak berlaku. Kehadiran hormon akan membuatkan lapisan ini menjadi nipis, jadi darah haid yang keluar adalah sedikit, bukannya tertinggal dalam rahim.

Hormon daripada IUS bukan sekadar mengelakkan proses persenyawaan berlaku malah ia turut mengurangkan masalah berkaitan haid seperti senggugut dan kurang darah atau anemia.

Sumber : Harian Metro

No comments: