Partime Job

Monday 27 February 2012

Dikejar Along Angkara Isteri

KUALA LUMPUR: Hidupnya tidak tenteram angkara si isteri kaki putar alam yang menjalankan penipuan kononnya menjadi ejen pembekal pembantu rumah warga asing dengan mengenakan bayaran antara RM7,000 hingga RM8,000 seorang sebelum menghilangkan diri sebaik bayaran diterima.

Lebih membingungkan apabila wanita berusia 37 tahun itu dipercayai menggunakan ilmu ‘penunduk’ bagi memastikan individu yang menjadi sasarannya mempercayai janji kosongnya sehingga sanggup mengeluarkan bayaran pendahuluan tanpa sebarang resit.


Perkara itu didedahkan suami suspek dikenali sebagai Azhar, 40, yang memberitahu sering diganggu panggilan telefon daripada mangsa selain menerima ugutan membuatkannya bimbangkan keselamatan tiga anaknya yang kini dijaga keluarga mentuanya.

“Saya menumpang di rumah kawan selepas bertengkar dengan isteri mengenai perbuatannya itu manakala tiga anak saya yang bersekolah dijaga keluarga mentua.


“Malangnya, ibu mentua memberitahu, isteri saya sudah dua minggu tidak pulang dan gagal dihubungi.


“Bagaimanapun, rumah saya terus ‘diserang’ mangsa yang menuntut wang mereka dan janji isteri saya,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Setapak, Jumaat lalu.

Katanya, dia juga membawa lebih 30 pasport yang disimpan isterinya dipercayai milik mangsa atau wanita yang dijadikan pembantu rumah.


Menurutnya, dia membuat laporan polis selepas menjadi sasaran along yang menuntut hutang isterinya, malah ada mangsa datang ke rumah merampas hartanya sebagai ganti rugi wang mereka.

“Ada mangsa merampas televisyen gara-gara menyangka saya turut terbabit kegiatan penipuan untuk menyelesaikan dokumen perjalanan isterinya dengan bayaran RM1,800,” katanya.


Menurutnya, ada mangsa memaklumkan pembantu rumah mereka lari dan menimbulkan masalah lalu mengadu kepada isterinya selaku ejen.


Katanya, melalui mangsa, dia mendapat tahu isterinya hanya menyediakan pembantu rumah ‘kitar semula’ yang kebanyakannya bermasalah termasuk mengandung.


Menurutnya, sepanjang 15 tahun perkahwinan mereka, isterinya tidak pernah melakukan perbuatan terkutuk malah bersama-sama menguruskan agensi pembekal pembantu rumah warga asing.


Katanya, selepas perniagaan yang diuruskan maju, dia memberi laluan kepada isterinya untuk menguruskan syarikat itu sendiri manakala dia menguruskan pekerja asing bagi syarikat pembersihan.


“Tuntutan kerja membuatkan saya percaya dan membiarkan dia bergerak sendiri menguruskan tender serta permohonan individu yang mahukan khidmat kami tanpa curiga.


“Bagaimanapun, dia mula berubah sejak September tahun lalu,” katanya.


Menurutnya, kepercayaannya disalahgunakan isterinya dengan menipu orang, malah mengaku sebagai ejen yang menawarkan khidmat urusan dokumentasi warga asing.


Ditanya alasan isterinya bertukar perwatakan secara mengejut, Azhar berkata, dia mengesyaki isterinya menjalin hubungan sulit sehingga menyerahkan hasil pendapatannya.


“Selain tidak mempedulikan rumah tangga, dia tidak renggang daripada telefon bimbit dan komputer riba sehingga saya menemui facebook dan khidmat pesanan ringkas (SMS) isteri dengan lelaki terbabit,” katanya Katanya, sebaik perbuatannya itu terbongkar, isterinya memohon maaf dan berjanji berubah, namun hanya bertahan dua hari sebelum menghilangkan diri.

Sumber : Harian Metro

No comments: