Partime Job

Friday 24 February 2012

Bos Kene Kejar

GOMBAK: Tindakan seorang mekanik menegur sikap seorang pekerjanya yang malas dan tanpa berasa malu membuang air kecil di depan bengkel keretanya membawa padah apabila diserang pekerja itu dengan parang dalam kejadian di Kuang, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, mangsa berusia 29 tahun pada mulanya menegur sikap pekerjanya itu yang tidak membuka tayar kereta milik seorang pelanggan walaupun sudah diarahkan mangsa.


Menurut sumber, lelaki itu tidak mempedulikan teguran mangsa dan terus berlalu sebelum tiba-tiba datang semula membuang air kecil di hadapan bengkel.

“Terkejut dengan sikap biadab itu, mangsa yang tidak berpuas hati menegurnya dan memberi amaran supaya tidak mengulangi perkara sama.


“Sangkaannya, lelaki terbabit akan sedar dengan kesilapannya namun sebaliknya berlaku apabila lelaki itu mula melenting sebelum menghamburkan kata-kata kesat,” katanya.


Sumber berkata, mangsa cuba menenangkannya, namun pekerjanya itu tidak henti-henti memaki hamunnya sebelum dia terus ke kereta dan mengambil sebilah parang dan terus menyerbu ke arah mangsa.

“Namun mangsa sempat mengelak dan melarikan diri. Lelaki terbabit yang tidak berpuas hati terus mengejarnya, namun gagal apabila pekerja lain datang menghalang.


“Selepas beberapa minit, lelaki itu kembali tenang sebelum terus beredar dari bengkel itu. Mangsa yang bimbang kejadian sama berulang membuat laporan di Balai Polis Kuang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Sumber : Harian Metro

No comments: