Partime Job

Tuesday 4 September 2012

Air sungai kembali hitam


SUNGAI BULOH - Pencemaran sungai yang hitam dan berbau busuk di sepanjang laluan Sungai Buloh-Jalan Sasaran melibatkan Kampung Parit Mahang dan Bagan Sungai Buloh, di sini masih belum menemui titik noktah apabila mereka masih berdepan isu terbabit sehingga kini.

Nelayan, Kahar Buntal, 60, berkata, jika sebelum ini masalah terbabit pernah disiarkan di dalam akhbar tempatan, air sungai yang dahulunya hitam dilihat semakin pulih namun sejak seminggu lalu air kembali berminyak dan likat.

Menurutnya, bau busuk semakin menusuk hidung dan air tercemar kembali menghantui lebih 400 nelayan di Bagan Sungai Buloh sehingga mereka mendakwa menyebabkan punca pendapatan mereka terjejas melalui kebun kerang dan hasil laut yang kian pupus.

“Masalah seumpama ini masih belum berakhir meskipun banyak kali disiarkan di dada media, malah isu pencemaran sungai ini dilihat seolah-olah perkara kecil oleh agensi berkaitan dan diperlekehkan begitu sahaja sedangkan memberi kesan kepada nelayan.

“Ramai pekebun kerang mengadu dan merungut melihat hasil kerang di 30 lot kebun kerang semakin hari semakin terjejas selain bimbang kesan toksik sisa kumbahan perindustrian yang tidak dikawal dengan lebih awal akan mencemarkan anak kerang yang membesar,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Kahar berkata, nelayan di sini tidak mahu dituduh menjadi pembunuh gara-gara menjual hasil kerang beracun dan hanya kerana segelintir pihak memejamkan mata demi mengaut keuntungan, nelayan yang bergantung 100 peratus hasil laut menerima akibatnya.

“Bukan itu sahaja, bahkan pencemaran sungai yang disertai sampah sarap menyebabkan hasil sepanjang muara sungai seperti ketam, udang, ikan siakap, ikan sembilang dan ikan bawang kian pupus,” katanya.

Sebelum ini katanya, pihaknya pernah mengutarakan masalah sama kepada pihak berkaitan pada 24 Julai lalu dan beberapa agensi terlibat ada turun padang melihat sendiri pencemaran terbabit, namun sehingga kini tiada perkembangan positif.

“Saya amat berharap semua pihak termasuk Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan di bawah Kerajaan Persekutuan dapat berganding bahu menyelesaikan masalah ini,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: