Partime Job

Thursday 26 July 2012

Ditangkap asyik makan kuih di bawah pokok

GUA MUSANG - Seorang lelaki yang sedang kemaruk makan kuih kerana terlalu lapar, merupakan orang pertama dicekup tidak berpuasa pada bulan Ramadan di bawah pohon kayu di tepi padang bola Pusat Sivik, di sini petang kelmarin.

Serbuan dibuat ketika sepasukan pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) diketuai Penolong Pegawai Penguat kuasa Agama Jajahan, Husnie Adabi Abdul Kadir dalam perjalanan ke bandar ini.

Pegawai Agama Jajahan, Naim Md Ghazali berkata, ketika pasukan melalui kawasan terbabit, mereka melihat lelaki berusia 48 tahun sedang makan bawah pohon kayu.

Beliau berkata, lelaki itu dipercayai membeli kuih daripada peniaga yang menjual awal pada bulan Ramadan.

“Tanpa menghormati orang ramai melalui kawasan berkenaan, dia terus makan kuih sebelum pegawai kita menyerbu ke arahnya.

“Dia ketika itu belum sempat membuang kuih yang masih dikunyahnya dengan sebahagian lagi masih dipegang di tangan hingga terpaksa pegawai kita menegurnya supaya berhenti makan,” katanya.

Naim berkata, lelaki pertama ditahan kerana tidak berpuasa di daerah ini kemudiannya dikeluarkan surat saman untuk hadir di Mahkamah Rendah Syariah Gua Musang pada 4 September depan.

Dia akan didakwa di bawah Sesyen 26 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan kerana makan pada bulan Ramadan di tempat awam yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM500 atau tidak lebih tiga bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

sumber : sinarharian

No comments: