Partime Job

Monday 18 June 2012

Pentas konsert rock runtuh



TORONTO, Kanada - Seorang maut dan tiga yang lain cedera apabila sebuah pentas gergasi runtuh tiga jam sebelum persembahan konsert band rock dari Britain, Radiohead di sini, kata beberapa pegawai kelmarin.

Timbalan Komander Perkhidmatan Perubatan Kecemasan, David Viljakainen berkata, seorang lelaki berusia pertengahan 30-an yang terperangkap di bawah runtuhan pentas tersebut disahkan mati.

Menurut Viljakainen, seorang lelaki berusia 45 tahun yang mengalami kecederaan di kepala dimasukkan ke sebuah hospital dan dua mangsa lain dirawat di tempat kejadian di Downsview Park.

Sementara itu, jurucakap polis, Tony Vella berkata, ketika kejadian, beberapa kru sedang bekerja di atas pentas tersebut.

Punca kejadian masih disiasat dan polis menolak spekulasi bahawa ia disebabkan angin kencang.

Kumpulan Radiohead mengumumkan di laman Twitter bahawa konsert tersebut dibatalkan ekoran kejadian tersebut.

Laman web rasmi kumpulan tersebut turut menyatakan sebanyak 40,000 tiket konsert itu habis dijual.

Band itu dianggotai lima orang iaitu Thom Yorke, Jonny Greenwood, Colin Greenwood, Phil Selway dan Ed O'Brien. - Agensi

No comments: