Partime Job

There was an error in this gadget

Wednesday, 27 June 2012

Kenderaan hempap tuan



IPOH – Kegagalan seorang lelaki menarik brek tangan kenderaan yang dipandunya memakan diri apabila maut akibat terperosok dalam longkang di sebuah tapak projek perumahan di Falim, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.00 malam itu, mangsa, Chang Wing Khoon, 58, meninggal dunia di tempat kejadian setelah kereta Toyota Hilux milik syarikatnya yang diparkir bergerak sendiri sebelum merempuh mangsa dari arah belakang.

Difahamkan mangsa cuba membuka pintu zink, ketika turun, dia lupa untuk menarik brek tangan sehingga tidak sedar kereta itu bergerak dan merempuhnya di hadapan menyebabkan mangsa tidak sempat untuk berbuat apa-apa.

Wing Khoon yang bekerja sebagai pengurus projek ditemui orang awam dalam keadaan warna kulit menjadi lebam akibat dihempap bahagian hadapan kenderaan berkenaan.

Isterinya yang ditemui di tempat kejadian, Wong Chee Yeng, 57, berkata, dia masih tidak percaya kejadian tragis yang menimpa suaminya ketika tiba di lokasi kejadian pada jam 2 pagi.

“Saya cuba hubungi dia sejak jam 7 malam tetapi tiada jawapan kerana selalunya jam 6.30 dia akan pulang untuk makan malam bersama keluarga sehinggalah saya diberitahu tentang kejadian ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superitendan Ahmad Termizi Abd Haq berkata, berdasarkan laporan bedah siasat, kematian mangsa disebabkan oleh patah tulang belakang dan pendarahan dalaman.

“Mangsa tidak sedar kereta itu bergerak mungkin disebabkan faktor muka bumi lalu menghempap mangsa sehingga terperosok dalam longkang berhampiran.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya

sumber : sinarharian

No comments: