Partime Job

Wednesday 2 May 2012

Semi cari waris suami


SEMERAH – “Saya perlukan mereka, anak-anak saya perlu tahu siapa datuk, nenek, pakcik, makcik dan sepupu mereka...saya tahu mereka tak suka saya tapi janganlah tak terima mereka,” itulah luahan hati Semi Sapar, 45, kepada keluarga arwah suaminya.

Suaminya, Allahyarham Muhamad Esa Abdullah, 44, yang meninggal dunia 24 April lalu akibat kanser telah menjalani pembedahan dan berasal dari Pasir Gudang.

Menurut Semi, kira-kira 16 tahun lalu, setelah melangsungkan perkahwinan dengan arwah suaminya, dia pernah berjumpa dengan keluarga mertuanya di Taman Air Biru, Pasir Gudang.

Namun perkahwinannya tidak mendapat restu keluarga mertua dan mereka membawa diri sehinggalah suaminya meninggal dunia, baru-baru ini.

“Jika mereka tidak terima saya tidak apa, tetapi terimalah anak-anak saya, sebab mereka adalah cucu dan darah daging mereka. Selama ini, saya sering kali diajukan soalan dari anak-anak di manakah datuk dan nenek mereka, sedih hati saya mengenangkannya,” katanya.

Semi, ibu kepada lima orang anak itu mengharapkan keluarga mertuanya dapat menerima anak-anaknya kerana hajatnya mahu mempertemukan mereka sebelum dia menutup mata.

“Sejak kematian suami, saya menyara keluarga dengan bekerja kilang. Pendapatan yang diperoleh sekitar RM18 sehari dan dalam seminggu, saya hanya bekerja dua atau tiga hari sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Semi, anak sulungnya yang berumur 15 tahun tidak bersekolah kerana dia tidak mampu menanggung perbelanjaan persekolahan anaknya itu.

“Saya bimbang nasib empat lagi anak yang mungkin terpaksa mengikuti jejak anak sulung saya kerana kesempitan hidup.

“Saya begitu sedih apabila anak saya yang kecil memberitahu dia mahu ke sekolah tadika seperti rakan-rakan yang lain tetapi saya tidak dapat menunaikan permintaannya kerana tidak mempunyai wang. Jika dahulu, sewaktu arwah suami masih hidup, kami ada tempat bergantung untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semerah, Datuk Ariss Samsudin berkata, pihaknya akan membantu Semi dan anak-anaknya untuk menemukan mereka sekeluarga dengan waris arwah suaminya.

“Sekiranya keluarga waris suami Semi tidak dapat menhubungi Semi, mereka boleh berhubung dengan pusat khidmatnya yang terletak di Jalan Rogayah, Batu Pahat.

“Saya harap mereka dapat berjumpa semula,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: