Partime Job

There was an error in this gadget

Friday, 4 May 2012

Pisang berbuah di batang


BACHOK – Seorang petani terkejut setelah melihat pisang nangka yang ditanamnya beberapa bulan lalu, mengeluarkan buah di bahagian batangnya­ di Kampung Kubang Keladi, semalam.

Mat Hassan Mat Noh, 64, berkata, pada mulanya dia tidak perasan mengenai pisang itu sehinggalah dua minggu lalu.

“Dua minggu lalu, ketika saya datang untuk membersihkan kebun yang terletak di belakang asrama Sekolah Menengah Teknik itu, saya lihat pokok pisang nangka itu mengeluarkan buah di batangnya.

“Sepanjang empat tahun saya mengusahakan tanaman pisang ini sebagai pendapatan sampingan, inilah pertama kali saya melihat kejadian seperti ini dan ia adalah pengalaman manis dalam hidup saya,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata, tanaman­ pisang di kebun yang berkeluasan 1.21 hektar itu sentiasa dipantau olehnya untuk membolehkan tanaman pisang membesar dengan baik tanpa diserang perosak.

“Pisang di kebun saya ini sentiasa dijaga dengan rapi dan dibaja dengan baik untuk memastikan kualitinya terjamin apabila dipasarkan.

“Memandangkan ini adalah kejadian pertama kali berlaku di kebun yang saya usahakan­, saya ingin melihat hasil pisang itu sehingga ia matang.

"Saya harap ia tidak akan dirosakkan oleh haiwan perosak dan sebagainya sehingga tempoh itu,” katanya.

Selain mengusahakan tanaman pisang, Mat Hassan juga mengusahakan tanaman padi berhampiran kediamannya.

Menurutnya, dia gemar berbakti kepada tanah untuk menambahkan pendapatan keluarga, di samping mengisi masa lapang.

"Dengan bertani saya dapat menggunakan masa terluang dengan aktiviti berfaedah sekali gus dapat menyihatkan tubuh badan. Malah kejadian pisang berbuah di batang , ini saya berpendapat ia ada hikmahnya," katanya.

sumber : sinarharian

No comments: