Partime Job

Monday 14 May 2012

Lintah masuk dalam dubur ketika menangkap ikan


KOTA BHARU - Seorang murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Kampung Chengal, Ketereh, di sini melalui pengalaman yang mengerikan apabila seekor lintah sebesar ibu jari orang dewasa kira-kira sepanjang 25 sentimeter, masuk ke dalam duburnya ketika menangkap ikan di sebuah paya berdekatan rumahnya.

Mohd Farhan Adli Mohd Alpatah, 7, yang berasal daripada Kampung Paloh Rambai itu berkata, dia hanya menyedari kehadiran lintah tersebut selepas mengalami pendarahan di duburnya.

”Saya masuk hospital semalam selepas tengok dubur berdarah ketika nak buang air besar dan beritahu keluarga mengenai perkara itu sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II.

”Sebelum ini, saya dan tiga orang rakan pergi ke sebuah paya berdekatan rumah untuk mencari ikan, namun tak sangka pula ada lintah masuk dalam dubur,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas menerima kunjungan isteri kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datin Seri Khamarzan Ahmed Meah di sini, semalam dan sudah pun dibenarkan pulang ke rumah.

Sementara itu, nenek Mohd Farhan, Sapinah Nor, 70, berkata, sewaktu cucunya pulang ke rumah, dia melihat ada darah yang mengalir keluar dari dubur cucunya itu.

Menurutnya, dia mula mengesyaki ada lintah di dalam badan Mohd Farhan dan segera memberi cucunya makan belalang berdasarkan petua orang dahulu.

“Selepas dia (Mohd farhan) makan belalang, tidak lama kemudian dia mula membuang air besar dan terlihat ada satu objek berwarna kehitaman.

“Bagaimanapun, darah masih tidak berhenti keluar menyebabkan kami membawa Mohd Farhan ke klinik kesihatan berdekatan sebelum dibawa ke HRPZ II untuk lawatan selanjutnya,” katanya ketika ditemui, semalam.

sumber : sinarharian

No comments: