Partime Job

Monday, 2 April 2012

Trauma jumpa ular sawa


RANTAU PANJANG – Seorang wanita yang baru 20 hari menoreh getah tidak sempat menghabiskan kerja di kebunnya di Tasek Pasir Puteh, apabila terlihat ular sawa di batang pokok tumbang kira-kira jam 9 pagi semalam.

Ketika kejadian, mangsa sampai ke pokok terakhir untuk ditoreh, tetapi terpaksa membatalkan hasratnya menyiapkan kerjanya kerana bimbangkan keselamatannya tambahan ketika itu dia menoreh sendirian.

Rokiah Ibrahim, 51, berkata, dia terkejut sebaik melihat ular berkenaan, dan segera ke motosikalnya untuk mendapatkan bantuan penduduk.

Menurutnya, sepanjang perjalanan pulang, dia tidak bernasib baik kerana gagal menemui orang ramai bagi mendapatkan pertolongan dan kemudiannya terus ke warung milik kawannya.

“Kawan mengajak saya ke Pejabat Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Rantau Panjang untuk memaklumkan kejadian itu, seterusnya meminta mereka menangkap haiwan itu.

“Di sebabkan terlalu takut, saya tidak dapat memaklumkan dengan jelas apa yang ditanya anggota JPAM bertugas dan hanya mampu menunjukkan lokasi ular ditemui,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tasik Hilir, pagi semalam.

Rokiah berkata, dia tidak menduga akan menemui haiwan itu pagi semalam.

Menurutnya, kejadian pagi semalam benar-benar meninggalkan kesan buat dirinya kerana masih terbayang kelibat haiwan berkenaan, walaupun sudah ditangkap anggota JPAM pagi semalam.

“Sehingga kini saya masih trauma dan terbayang kedudukan ular itu dan tidak pasti sama ada dapat kembali menoreh semula atau sebaliknya.

“Saya baru sahaja menoreh kerana sebelum ini bekerja sebagai pembantu kedai di sekitar Rantau Panjang,” kata ibu kepada enam anak berusia 14 hingga 29 tahun ini.

Sementara itu, Ketua Operasi JPAM Unit Rantau Panjang, Lans Koperal Jamaliah Ibrahim berkata, mangsa memaklumkan kejadian kira-kira jam 9.14 pagi.

Menurutnya, beliau bersama tiga anggota ke tempat kejadian dan mendapati ular masih berada di batang pokok yang tumbang.

“Kita mengambil masa kira-kira lima minit untuk menangkap ular sawa seberat 10 kilogram dan 2.5 meter itu untuk dibawa ke pejabat JPAM,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: