Partime Job

Wednesday 4 April 2012

Pemilik produksi dakwa disamun polis

KUALA LUMPUR: Seorang pemilik syarikat produksi mendakwa kerugian lebih RM40,000 selepas disamun sekumpulan lima lelaki dipercayai anggota polis ketika memandu kenderaan disewa syarikatnya di Jalan Tangsi, di sini, 19 Mac lalu.

Lebih mengecewakan lelaki terbabit, dia bukan saja disamun, malah turut dipukul dan dikurung lebih 12 jam di sebuah hotel di ibu negara sebelum dibebaskan dan diperas ugut lima lelaki terbabit.


Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Alif, 22, berkata, kejadian berlaku jam 10.45 malam ketika dia memandu Honda Civic yang disewa sebelum dihalang sebuah van.

“Beberapa saat selepas itu, empat lelaki turun daripada van berkenaan sambil seorang daripada mereka menunjukkan kad kuasa polis dan mengarahkan saya keluar.


“Saya enggan menurut kehendak mereka, namun seorang daripada lelaki itu merosakkan pemegang pintu kenderaan sebelum memaksa saya duduk di belakang manakala seorang lagi memecut kenderaan berkenaan,” katanya yang datang ke Balai Berita, semalam.


Alif berkata, dia dibawa ke Stadium Badminton Cheras, kononnya untuk berjumpa seorang lelaki berpangkat sarjan mejar bagi menyelesaikan masalahnya.

Beberapa minit selepas itu, seorang lelaki yang mendakwa sebagai sarjan mejar muncul dan memberitahu mangsa melakukan pelbagai kesalahan dan perlu membayar RM50,000 jika mahu rekod kesalahannya dipadam.


“Mereka merampas dompet sebelum menumbuk dan menendang perut saya. “Saya dibawa ke dua bank di Jalan Tun Perak dan Jalan Raja Laut untuk mengeluarkan RM3,000 dan RM5,000.

“Lelaki terbabit memberitahu wang itu tidak cukup untuk memadam rekod kesalahan lampau saya dan mengarahkan supaya saya meminjam duit daripada sesiapa untuk diberikan kepada mereka, namun saya hanya mendapatkan tambahan RM3,000 daripada seorang rakan,” katanya.


Tidak cukup dengan itu, Alif dibawa ke perkarangan Balai Polis Pudu di Cheras untuk berjumpa seorang lagi lelaki mengaku cif inspektor dan memberitahu wang yang diberikannya sebanyak RM16,450 masih tidak mencukupi.


Alif kemudian dibawa ke sebuah hotel di Jalan Raja Laut dan dikurung dengan tangan bergari sambil dijaga tiga lelaki yang tidak dikenalinya.


“Keesokan harinya, jam 8.30 pagi, dua lelaki mengaku koperal dan sarjan membawa saya keluar untuk mengeluarkan lagi wang dari dua bank di Sentul Raya sebanyak RM 8,000,” katanya.


Menurutnya, akibat bimbang keselamatannya, dia mengambil masa sehari sebelum melaporkan perkara itu kepada polis di Balai Polis Tun H S Lee, di sini, pada 21 Mac lalu.


Sebaik saja mendapat tahu mangsa membuat laporan polis, lelaki terbabit meninggalkan kereta yang dilarikan mereka di sebuah stesen minyak di Jalan Kuching.


Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, mengesahkan menerima laporan itu dan berkata empat suspek ditahan dan dua daripadanya anggota polis. Katanya, anggota terbabit kini digantung tugas dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan.

sumber : mymetro

No comments: