Partime Job

There was an error in this gadget

Wednesday, 4 April 2012

Nyaris maut elak lubang


KUALA LIPIS - Gara-gara ingin mengelak jalan rosak, seorang pemuda nyaris maut apabila kereta dipandunya terbabas sebelum terbalik di Kampung Jeram Landak, di sini, petang kelmarin.

Mangsa, Mohd Rithaudin Azhari, 22, berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 5.30 petang ketika dia dalam perjalanan dari Felda Kechau ke Kuantan.

Menurutnya, sampai di tempat kejadian, kereta jenis Wira Aeroback dipandunya gagal dikawal lalu terbabas ke kiri jalan sebelum terhumban ke dalam semak.

“Saya bekerja di kilang sawit Felda Kechau dan sedang dalam perjalanan pulang ke rumah keluarga di Kuantan untuk bercuti.

“Laluan di sini berbukit dan terdapat mendapan jalan. Ketika ingin mengelak jalan rosak itu, saya nyaris maut dalam kejadian kemalangan terbabit,” katanya, di sini, kelmarin.

Mohd Rithaudin berkata, dia tekad untuk keluar meminta pertolongan setelah kenderaannya terbalik, namun pintu kereta gagal dibuka kerana dikelilingi semak.

“Saya terpaksa menggunakan tingkap untuk keluar daripada kenderaan. Saya bimbang sekiranya berlaku letupan hingga membahayakan nyawa saya.

“Saya kerap melalui jalan Kuala Lipis-Jerantut untuk pulang ke Kuantan dan mengetahui selok-belok laluan berkenaan. Namun kejadian ini membuatkan saya akan lebih berhati-hati selepas ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama dia berkata, pihak berkaitan diharap dapat memantau keadaan jalan di kawasan itu kerana laluan di situ kerap berlaku kemalangan.

“Sekitar dua bulan lepas, sebuah kereta mewah turut terbabas di kawasan ini. Pihak bertanggungjawab diharap dapat mengkaji dan membaik pulih struktur jalan rosak terbabit,” katanya.

sumber : mymetro

No comments: