Partime Job

Wednesday 4 April 2012

Misteri cecair kekuningan


BENTONG – Kemunculan cecair misteri berwarna kuning di kawasan perumahan Taman Bentong Makmur, dekat sini, menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penduduk.

Cecair misteri itu dipercayai melekat pada baju, kenderaan dan peralatan diletakkan di luar rumah penduduk.

Keadaan yang berlaku sejak sebulan lalu itu menyebabkan penduduk mula bimbang dan berharap pihak bertanggungjawab dapat menjalankan siasatan lanjut.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan Negeri, Datuk Hoh Khai Mun berkata, berdasarkan siasatan awal, cecair kuning itu hanya ‘menyerang’ dua lorong rumah penduduk di kawasan ini.

Menurutnya, ia bukan membabitkan semua rumah sebagaimana digembar-gemburkan pelbagai pihak.

“Selepas menerima aduan daripada penduduk, saya turun padang meninjau masalah itu bersama wakil Jabatan Alam Sekitar (Jas) dan Pejabat Kesihatan Daerah.

“Berdasarkan siasatan awal, cecair kuning itu bukan bahan kimia tetapi dipercayai “silicon dioxide” berasal daripada tumbuhan,” katanya kepada Sinar Harian.

Khai Mun berkata, contoh cecair sudah diambil kedua-dua jabatan untuk menjalankan kajian terperinci.

Menurutnya, dalam waktu terdekat, pakar botani juga akan datang untuk menjalankan kajian di kawasan terbabit.

“Dalam hal ini, penduduk terbabit dinasihati supaya tidak panik dan percaya khabar angin berkaitan perkara itu.

“Penduduk boleh meneruskan aktiviti harian seperti biasa dan pihak bertanggungjawab akan menjalankan tugas mereka dengan sebaik mungkin,” katanya.

Khai Mun berkata, dakwaan mengatakan cecair kuning itu merupakan bahan kimia terhasil daripada kilang adalah tidak benar kerana apabila difikirkan secara logik, mengapa hanya dua lorong berdepan masalah berkenaan berbanding keseluruhan taman perumahan.

Menurutnya, hasil kajian dan siasatan akan dimaklumkan kepada penduduk selepas ia selesai kelak.

sumber : sinarharian

No comments: