Partime Job

Tuesday 3 April 2012

Kaji sistem serah netbook


BANDAR MARANG - Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dilihat perlu mengkaji sistem permohonan dan pemberian komputer riba Netbook 1Malaysia yang diberikan kepada golongan sasaran dengan lebih baik pada masa depan.

Terbaru, keadaan majlis penyerahan borang pemberian Netbook 1Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Lela Segara di sini, menjadi tegang apabila kira-kira 30 ibu bapa, penjaga serta pemohon tidak berpuas hati dengan cara pelaksanaannya.

Kekecohan itu bermula apabila kumpulan terbabit mendakwa gagal mendapatkan cop pengesahan daripada wakil SKMM ketika ingin menyerahkan borang walaupun nama anak mereka tersenarai untuk menerima kemudahan itu sebelum ini.

Mewakili kumpulan terbabit, Ghazali Ismail, 56, berkata, jika permohonan mereka ditolak tanpa alasan kukuh selepas ini, keadaan itu tidak adil kerana keluarganya belum pernah menerima pemberian kemudahan komputer riba Netbook 1Malaysia sebelum ini.

“Semua pihak terlibat seharusnya meneliti terlebih dahulu sebelum senarai penerima kemudahan dikeluarkan agar perkara seumpama ini tidak berlaku sehingga menyusahkan ibu bapa dan penjaga,” kata bapa empat anak dari Kampung Rhu Dua ini.

Difahamkan seramai lebih 523 nama pemohon disenaraikan untuk menerima pemberian kemudahan itu, dengan penyerahan kemudahan dijangka akan dilakukan pada 17 April depan.

Ghazali berkata, bagaimanapun pada majlis tersebut sebahagian ibu bapa, penjaga dan pemohon dimaklumkan bahawa terdapat sekumpulan kecil daripada jumlah tersebut tidak layak untuk menerima kemudahan itu pada tarikh yang ditetapkan.

“Antara alasan yang diberikan adalah pemohon terbabit sudah melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi (IPT) dan tidak lagi belajar di sekolah itu sehingga menyebabkan kami keliru kerana ia tidak dimaklumkan sebelum ini,” katanya.

Sehubungan itu, mereka meminta SKMM mengkaji sistem permohonan dan pemberian komputer riba Netbook 1Malaysia yang diberikan kepada golongan sasaran dengan lebih baik pada masa depan agar kekeliruan seumpama itu tidak berulang.

Keadaan itu bagaimanapun, berakhir dengan baik selepas campur tangan pihak Pejabat Pelajaran Daerah (PPD).

Malah kesemua pemohon yang tidak berpuas hati akhirnya menyerahkan borang masing-masing kepada pihak SKMM untuk tindakan selanjutnya.

Difahamkan, kesemua pemohonan tersebut akan diproses semula dan akan diberikan perhatian sewajarnya oleh SKMM.

Sementara itu, Pegawai Pelajaran daerah, Kasim Husin ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan perkara itu.

sumber : sinarharian

No comments: