Partime Job

Monday 2 April 2012

Gangguan air sejak seminggu di Laloh

KUALA KRAI - Gangguan bekalan air bersih melanda beberapa kawasan di Laloh, dekat sini, sejak seminggu lalu menyebabkan lebih 50 keluarga terlibat terpaksa hidup dalam serba kekurangan dan berdepan pelbagai masalah.

Selain orang kampung, masalah turut menjejaskan aktiviti harian murid di sebuah sekolah kebangsaan, pengusaha kedai makan dan juga anggota Balai Polis Laloh, selepas bekalan air di rumah sewa mereka juga terganggu.

Penduduk, Yusoff Hassan, 55, berkata, kawasan paling teruk terjejas ialah kampung dalam kawat di pedalaman Laloh dan penempatan di belakang sebuah stesen minyak dekat sini.

Bagi tampung keperluan harian katanya, penduduk terjejas terpaksa bergantung kepada sungai, takungan air bukit atau tandak di Kampung Bechah Pulai dan sebuah lata air terjun sebagai sumber air.

“Sedih bila tengok penduduk terutama warga emas berulang-alik angkut air, bahkan ada seorang penduduk jatuh sakit sebab setiap hari nak kena punggah air.

“Anggota polis pula terpaksa mandi di balai, malah ada seorang anggota yang baru dapat anak terpaksa hantar isteri balik rumah mentua sebab masalah air di rumah sewa mereka,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Yusoff berkata, gangguan air yang memang kerap berlaku sebelum ini juga menyebabkan pengusaha kedai makan sekitar Pasar Besar Laloh menanggung kerugian kerana tidak dapat berniaga.

Selain orang kampung katanya, kerugian turut dialami pemilik rumah sewa di belakang stesen minyak, iaitu kawasan paling kerap dan paling lama terjejas bila berlaku gangguan air kerana penyewa tidak kekal lama akibat masalah itu.

“Bil air sampai setiap bulan dan kalau lambat sikit bayar, mulalah nak potong bekalan air, tetapi masalah air sering terputus di Laloh ini sejak dulu sampai sekarang masih tak boleh nak selesaikan,” katanya.

Justeru katanya, pihak berkenaan diminta segera mengatasi masalah itu, termasuk menimbang cadangan supaya bekalan air bersih untuk penduduk Laloh disambung terus dari paip utama berhampiran Jalan Kuala Krai-Gua Musang.

“Sekarang ini, bekalan dari tangki air di Manek Urai disalurkan melalui Manjur dan Karangan dulu baru sampai ke Laloh, jadi tekanan air rendah kerana jarak jauh dan kedudukan paip di kawasan berbukit.

“Jika dapat disambung dan disalurkan terus dari paip besar di simpang empat Laloh, saya percaya masalah air sering terputus di kawasan­ ini disebabkan tekanan air rendah dapat diselesaikan,” katanya.

Sementara itu, Azmi Mamat, 38, berkata, cadangan itu patut dipertimbangkan kerana sistem lama penyaluran bekalan air ke Laloh kini tidak mampu menampung bilangan penduduk yang semakin bertambah.

“Jika dulu, bolehlah kalau nak salur melalui Manjur dan Karangan kerana penduduk Laloh tak ramai lagi tetapi sekarang orang guna air semakin ramai termasuk untuk kegunaan industri,” katanya

sumber : sinarharian

No comments: