Partime Job

Thursday 5 April 2012

Disondol babi hutan


KOTA BHARU - Seorang suri rumah cedera di betis kiri, selepas disondol seekor babi hutan ketika mencari cendawan pusu di belakang rumahnya, dalam kejadian di Kampung Sri Penggek, Dewan Beta, di sini, Isnin lalu.

Kejadian pada jam 9 pagi itu menyebabkan mangsa, Rubiah Samad, 54, terpaksa menerima 20 jahitan akibat rempuhan itu yang dipercayai terkena pada bahagian taring haiwan terbabit.

Rubiah berkata, ketika kejadian dia bersama dua jirannya masuk ke kawasan itu bagi mencari tumbuhan tersebut untuk dijadikan lauk untuk masakan tengah hari.

“Tidak sampai setengah jam masuk ke kawasan itu, saya terdengar bunyi dengus yang kuat dan ternampak kelibat binatang sebesar anak lembu menerpa ke arah jiran saya yang kebetulan ketika itu cuba melibas parang menghalau haiwan itu. Dalam keadaan kelam kabut, saya cuba lari, namun binatang itu dengan serta-merta menerpa ke arah saya secara berhadapan, sehingga menyebabkan saya jatuh tersembam dan taringnya menusuk pada betis kiri,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, disebabkan rempuhan kuat itu dia hampir pitam disebabkan darah yang keluar terlalu banyak.

“Mujurlah saya tidak pengsan dan masih sedar kerana selepas rempuhan itu saya diusung keluar dan di bawa mendapatkan rawatan ke hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan susulan. Hanya tuhan sajalah yang tahu perasaan saya selepas disondol haiwan itu kerana jika saya tidak bangun dan berteriak dan mungkin akan dirempuh lagi,” katanya.

Rubiah berkata, walaupun hanya mengalami kecederaan di kaki, namun dia masih fobia dengan kejadian itu, dan mengharapkan agar pihak Jabatan Perhilitan melakukan tindakan segera bagi memburu haiwan terbabit untuk mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

Ekoran kejadian itu, Jabatan Perhilitan bersama Ikatan Relawan Rakyat (Rela) serta pemburu berlesen dengan kerjasama penduduk kampung, menjalankan operasi menembak babi hutan terbabit yang dipercayai menjadi musuh tanaman penduduk berkenaan sejak sekian lama di kampung itu pagi semalam.

Operasi memburu haiwan itu diketuai oleh Pembantu Kanan Hidupan Liar Perhilitan, Abdullah Che Mud yang dibantu 15 peserta.

sumber : sinarharian

No comments: