JASIN: Dataran Jasin yang menjadi tempat riadah bagi penduduk di daerah ini sejak 27 tahun lalu, kini bagaikan ‘hidup segan mati tak mahu’ selepas terbiar tanpa diselenggara pihak bertanggungjawab.
Tinjauan Metroplus mendapati banyak terdapat kesan dipercayai vandalisme dengan lampu hiasan di kawasan sekitar tercabut dan pecah serta kabel elektrik mencecah tanah, malah beberapa penutup longkang juga tiada bagaikan perangkap kepada orang ramai.
Pemerhatian turut mendapati daun kering bertaburan di kawasan sekitar tidak disapu, dahan pokok besar yang patah tidak dibersihkan, selain kawasan astaka tidak diselenggara dan dibiarkan berlumut.
Malah, tandas awam pula tidak berfungsi dan dikunci sejak beberapa bulan lalu.
Perkara mengejutkan ini terbongkar hasil lawatan Pejabat Pelancongan Negeri yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Latiff Thamby Chik, baru-baru ini. Penduduk tempatan, Jamaros Azwan Jamal, 25, berkata sebelum ini dia sering berjoging di kawasan berkenaan dan sejak beberapa tahun lalu ia terbiar walaupun rumput sekitar dipotong.
Namun, katanya banyak perkara perlu diberi perhatian seperti penutup longkang yang hilang, selain tandas dikunci.
“Pancutan air di situ juga tidak lagi berfungsi dengan air hujan bertakung dan berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk.
“Agak berbahaya sekiranya pengunjung terjatuh ke dalam longkang yang tidak berpenutup itu.
“Memang menjengkelkan apabila satu-satunya tempat riadah selain pelbagai aktiviti bagi penduduk sekitar terbiar begitu saja,” katanya.
Jamaros berkata, Dataran Jasin terletak 800 meter dari bandar ini serta berada berhadapan pejabat daerah dan agak memalukan kerana ia tidak diselenggara dengan baik.
“Saya berharap perkara ini diambil perhatian terutamanya oleh Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) untuk mengembalikan keindahan tempat ini,” katanya.
Sementara itu, Latiff berkata, menerusi lawatan berkenaan, beliau terkejut apabila mendapati banyak masalah di kawasan riadah itu. “Boleh dikatakan hampir keseluruhan lokasi ini bermasalah. Saya kesal dan kecewa apabila melihat tempat yang menjadi riadah serta pelbagai aktiviti tidak diambil peduli oleh agensi kerajaan berkaitan.
“Kawasan ini satu tempat pelancongan dan agak memalukan apabila ia tidak diambil peduli.
“Saya pun pelik sehingga rumpai boleh tumbuh di dalam longkang yang bertutup. Ini menunjukkan tiada pihak yang mengambil peduli penyelenggaraan di sini,” katanya.
Menurutnya, agensi kerajaan terbabit mendakwa kawasan itu belum mendapat pertukaran hak penyelenggaraan di antara MPJ dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA).
sumber : mymetro
No comments:
Post a Comment