KEPALA BATAS - Kegiatan tiga remaja yang menjadikan ruang dapur sebuah rumah di Kampung Lahar Ikan Mati, Penaga di sini sebagai bengkel meleraikan motosikal yang dicuri terbongkar apabila rumah itu diserbu polis pagi semalam.
Serbuan pada jam 10 pagi semalam oleh sepasukan anggota dari Unit Cawangan Pencegahan Jenayah, Balai Polis Kepala Batas berjaya menemui dua rangka motosikal jenama Yamaha 125Z dan Honda EX5 selain komponen motosikal itu termasuk komponen Modenas Kriss yang dileraikan.
Turut ditemui semula, sebuah motosikal keluaran terbaru jenama Yamaha 125Z yang baru seminggu dilaporkan hilang di hadapan Kompleks Perniagaan Kailan di sini berdasarkan nombor siri pada enjinnya.
Tiga remaja lelaki yang berumur 18, 19 dan 21 tahun yang diberkas itu kemudiannya mengaku menjalankan kegiatan mencuri motosikal sekitar daerah ini sejak beberapa bulan lalu.
Selepas berjaya mencuri motosikal, mereka akan membawanya pulang ke rumah remaja lelaki yang berusia 18 tahun itu dan meleraikannya untuk dijual kepada remaja dan orang perseorangan yang memerlukan alat ganti motosikal dengan harga yang rendah.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias berkata, tiga remaja itu tidak menyedari kehadiran anggota polis kerana ketika itu sedang leka meleraikan motosikal Yamaha 125Z yang baru dicuri seminggu lalu.
“Rumah itu didiami remaja berkenaan bersama keluarganya dan sering menjadi tumpuan remaja sekitar kampung berkenaan khususnya remaja bermotosikal.
“Sepanjang intipan kita selama beberapa hari, pihak kita dapati rumah itu bukan sahaja dijadikan bengkel meleraikan motosikal curi tetapi turut menjadi kedai menjual aksesori motosikal,” katanya.
Zulkifli berkata, tiga remaja berkenaan dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak beberapa bulan lalu dengan penemuan pelbagai peralatan yang digunakan mekanik motosikal ditemui bersama mereka.
Menurutnya, tiga remaja berkenaan kini diletakkan di bawah tahanan reman untuk disiasat di bawah Seksyen 379A (1) Kanun Keseksaan iaitu mencuri motosikal.
“Dengan tertangkapnya tiga remaja berkenaan pihaknya percaya dapat mengurangkan kegiatan mencuri motosikal di daerah ini.
“Bagaimanapun kita sedang mengesan beberapa lagi rakan mereka untuk membantu siasatan kerana kegiatan mereka ini dipercayai melibatkan remaja dari daerah luar yang bertindak sebagai orang tengah untuk menjual komponen motosikal terbabit.
“Kumpulan ini bergiat aktif mencuri motosikal sebagai jalan mudah bagi mendapat wang khususnya dalam kalangan remaja,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai yang memiliki motosikal supaya meningkatkan ciri-ciri keselamatan tambahan kenderaan mereka itu bagi mengelak ia mudah dicuri.
sumber : sinarharian
No comments:
Post a Comment