Monday, 2 April 2012
Bekas bidan hidup derita alami pelbagai penyakit
KUANTAN - Seorang bekas bidan bukan sahaja menderita pelbagai penyakit, malah terpaksa bergantung pada tongkat untuk berjalan sejak lima tahun lepas.
Rokiah Salleh, 75, yang pernah menjadi bidan kampung selama lebih 20 tahun itu mengidap pelbagai penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi menyebabkan dia kini hanya mampu duduk di rumah.
Menurutnya, akibat tekanan darah yang terlalu tinggi, dia juga sering pengsan dan terjatuh.
“Setiap bulan saya perlu mendapatkan rawatan di hospital untuk kedua-dua penyakit yang dihidapi.
“Walaupun begitu, saya terpaksa memakai lampin pakai buang kerana kesukaran bergerak,” katanya ketika ditemui pada Program Ziarah oleh Setiausaha Badan Perhubungan Umno Pahang, Datuk Abdul Rahim Abas di rumahnya di Kampung Jeram, di sini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Beserah Darat, Hassan Stapa dan Ketua Belia Cawangan Beserah Tengah, Azharuddin Osman.
Rokiah berkata, dalam pemeriksaan kesihatan yang lepas, doktor turut mengesahkan dia mengalami masalah buah pinggang.
Katanya, dia kini perlu berhati-hati dengan pengambilan makanan kerana bimbang akan menjejaskan kesihatannya.
Sementara itu, Abdul Rahim berkata, pihaknya sentiasa memastikan warga emas mengalami sakit kronik mendapat perhatian.
Pada program ziarah itu, sumbangan lampin pakai buang turut diberikan selain wang tunai.
sumber : sinarharian
Labels:
Berita
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment