Partime Job

Friday 13 April 2012

Bagaikan pekan mati..


PANTAI CHENANG, LANGKAWI - Aktiviti pelancongan termasuk perniagaan sekitar bandar Kuah terutama di Pantai Chenang, turut terjejas apabila ia ditutup bagi mengelak ancaman tsunami susulan gempa bumi berlaku di Utara Aceh kelmarin.

Tinjauan sekitar jam 8 malam hari kejadian di Kuah mendapati kebanyakan perniagaan makanan menghadap laut ditutup bagi langkah berjaga-jaga, malah aktiviti malam selalunya bertumpu sekitar Pekan Rabu juga bagaikan 'pekan mati'.

Hanya segelintir penduduk berada di sekitar Sungai Kuah yang ingin melihat fenomena air surut sekiranya tsunami berlaku dilihat mundar-mandir di kawasan sungai menghala ke laut itu.

Bagaimana pun setelah amaran tsunami ditarik balik sekitar jam 9.30 malam, kebanyakan penduduk tetap bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Pengusaha pelancongan, Hashim Morad, 39, berkata, pada malam kejadian segala aktiviti termasuk pelancong asing tidak kelihatan.

“Saya sendiri terkejut jam 7 malam ramai pelancong bergegas keluar dari hotel penginapan berdekatan pantai kerana takutkan ancaman tsunami. Ada antara mereka masih bingung dan tidak tahu tentang amaran tsunami dan ada pula bertanyakan penginapan di tempat tinggi,” katanya.

Menurutnya, suasana ketika itu amat lengang, tidak seperti biasa di mana kawasan itu ‘hidup’ hingga ke awal pagi.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Tepi Laut, Kuala Teriang, Seta Abidin Saad, 46, berkata, kebanyakan penduduk sekitar yang pernah mengalami kesan tsunami pada 2004 telah mengambil inisiatif berpindah dan menumpang rumah saudara
sebagai persediaan awal.

“Kami masih trauma dengan tsunami menimpa penduduk di sini dahulu. Apa pun Alhamdulillah perkara itu tidak berlaku, namun kami tetap berjaga-jaga jika berlaku gegaran susulan lepas ini,” katanya.

Menurutnya, sekitar jam 11 malam sebahagian besar penduduk mulai kembali semula ke rumah masing-masing selepas amaran tsunami ditarik balik.

Hujan lebat dan angin kuat sekitar Langkawi pada malam kejadian turut mencetuskan kerisauan penduduk.

sumber : sinarharian

No comments: