Partime Job

Thursday 5 April 2012

Anggota polis patah rusuk kiri dirempuh motosikal

KUALA TERENGGANU -- Seorang anggota polis berpangkat koperal patah rusuk kiri dan cedera di dahi apabila dirempuh sebuah motosikal ketika sedang bertugas membuat sekatan jalan raya di Jalan Perindustrian, Jalan Jakar, Kemaman semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K. Manoharan berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 11.50 pagi ketika mangsa, Koperal Jamaluddin Drawi, 51, bersama beberapa lagi anggota lain sedang sibuk menjalankan tugas.

Katanya mangsa yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman itu dirempuh sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki.

"Akibat rempuhan itu, mangsa jatuh di atas jalan raya sebelum rakannya yang lain mengejarkan mangsa ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Manoharan berkata suspek yang menunggang motorsikal jenis Honda Wave berwarna kelabu itu menghilangkan diri di sekitar kawasan perindustrian itu dan gagal ditahan.

Beliau meminta orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung kejadian itu tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, katanya. -- Bernama

No comments: