Partime Job

Friday 13 April 2012

Air laut berubah warna


TANJUNG – Setiausaha Unit Nelayan Sungai Gelugor, Zaharah S Jaafar memaklumkan nelayan di situ sudah mula menyedari perubahan warna air laut sejak tiga hari lalu.

Menurutnya, perubahan warna itu didapati ketika kesemua nelayan melakukan kerja menangkap ikan.

“Ada antara anak-anak buah saya yang cerita air laut berubah dan hasil tangkapan juga sangat sedikit.

“Ada antara mereka yang bawa balik ikan dua tiga ekor ikan sahaja,” katanya yang mengulas kejadian dihadapi nelayan pihaknya, susulan gempa bumi kuat berlaku di Aceh Indonesia, kelmarin.

Sinar Harian dimaklumkan biasanya air laut berwarna biru kehijauan, tetapi berubah kelabu atau keruh dua tiga sebelum gempa terbabit berlaku.


Tambahan tangkapan di laut terbuka

Terdahulu, Zaharah memaklumkan, sejurus mendapat berita gempa dan terasa gegaran di Gelugor, dia segera menghubungi kesemua nelayan Sungai Gelugor yang berada di tengah laut.

Menurutnya, sehingga jam 6 petang hari kejadian gegaran itu, dia menunggu nelayan berkenaan di jeti, namun kesemuanya ketika itu tidak tahu gempa yang berlaku dan ada amaran tsunami dikeluarkan masa itu.

“Setelah tiba di darat ada yang maklumkan air di laut berkocak lain macam berbanding hari biasa, rupa-rupanya gempa,” katanya.

Sementara itu seorang lagi nelayan, Farid Mohd Mustafa, 29, berkata, dia tidak berasakan perubahan yang ketara terhadap hasil tangkapannya.

Menurutnya, namun ketika berada di laut terbuka, hasil tangka-pannya meningkat berbanding sebelum ini.

“Tetapi jika dibandingkan pada tahun 2004 iaitu seminggu sebelum tsunami, kami nelayan memperoleh RM10,000 seminggu hasil dari tangkapan laut.

“Bagi gempa kali ini hasil tidak ketara, namun tidak dinafikan memang ada pertambahan tangkapan di laut terbuka,” katanya.

Farid turut memaklumkan kebanyakan nelayan semalam hanya berehat kerana masih dalam keadaan berjaga-jaga.


Lokasi tumpuan lengang

Tinjauan Sinar Harian sejurus selepas amaran tsunami ditarik balik mendapati lokasi tumpuan pengunjung pada jam 12 tengah malam iaitu persiaran Queensbay Mall dan Padang Kota Lama masih agak lengang.

Peniaga dengan kenderaan lori yang biasanya sudah membuka perniagaan mereka pada waktu petang sehingga ke malam, tetapi sebaliknya lokasi berkenaan sunyi sepi.

Salah seorang pengunjung, Khusairi Abdullah berkata, kebanyakan peniaga di luar kawasan Queensbay Mall itu menjadi tumpuan selepas semua pengunjung keluar dari pusat membeli belah berkenaan.

Dia yang juga antara ribuan orang ramai di situ memaklumkan kebanyakan lori-lori gerai di situ diserbu untuk membeli makanan.

“Perniagaan mereka pada masa itu laris dan kemungkinan besar waktu malamnya mereka sudah tutup kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini kerana lokasi perniagaan mereka terletak berhampiran dengan laut,” katanya.


Air laut surut, sungai kering

Tinjauan ke kawasan terbabit juga mendapati air laut surut kira-kira sejauh 100 meter, berbanding dengan hari biasa.

Pada malam yang sama kakitangan sebuah hotel memaklumkan sungai yang menghala ke pantai di Batu Ferringhi kering secara tiba-tiba.

Menurut sumber, kebanyakan pengunjung hotel yang mendaftar masuk pada waktu tengah hari pula kemudiannya ramai yang mendaftar keluar gara-gara bimbang akan kejadian.

Susulan kejadian gegaran rumah ketika gempa kelmarin, Ahli Jawatankuasa Persatuan Penduduk Pangsapuri Nibong Indah di Sungai Nibong, Tengku Hazman Tengku Hassan mencadangkan supaya latihan kebakaran dilakukan di perumahan tersebut.

Menurutnya, cadangan latihan itu kerana kebanyakan penduduk tidak mengetahui cara yang betul ketika berlakunya kecemasan.

“Kemungkinan besar selepas ini kami akan mengadakan kawad latihan kebakaran bagi membolehkan penduduk tidak cemas dan semuanya dapat diselamatkan.

“Gegaran yang dialami penduduk kelmarin adalah antara kejadian kedua paling kuat selepas tsunami pada 2004. Selepas tsunami juga ada berlaku gegaran iaitu antara tahun 2005 hingga 2012, tetapi ini antara terkuat dan yang paling dirasai,” katanya.


Aktiviti harian seperti biasa

Walaupun rata-rata masyarakat di negeri ini masih heboh memperkatakan berhubung isu gempa, gega-ran dan tsunami semalam, namun mereka sudahpun kembali melakukan aktiviti harian seperti biasa.

Difahamkan, tiada rasa gusar di kalangan mereka melainkan hanya menjauhi kawasan pantai serta buat masa ini lebih peka dengan maklumat daripada laman web, berita televisyen dan juga Facebook.

sumber : sinarharian

No comments: