PASIR GUDANG: Keluarga Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang, 5, yang dibunuh dan dibakar di sekitar ladang kelapa sawit Nusa Damai, Masai, mendakwa mereka tidak pernah bersengketa mahupun bermusuh dengan sesiapa.
Datuk Dirang, Alan Alip, 49, berkata, sejak tinggal di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam pada 2003, mereka sekeluarga berbuat baik dengan semua orang di sekeliling dan tidak pernah menganggap mereka sebagai musuh.
“Kami sekeluarga tidak pernah ada musuh dan bergaduh dengan sesiapa. Semua ahli keluarga kami baik-baik saja.
“Walaupun majoriti penduduk berasal dari Sabah, terdapat juga kaum Melayu, Cina dan India yang tinggal di sini, namun kami semua hidup umpama bersaudara dan saling mengenali antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini, semalam.
Menurut Alan, sudah menjadi kebiasaan kanak-kanak bermain di bawah flat dan sebelum ini, tiada kejadian buruk menimpa mereka.
“Tiada siapa yang mahu kejadian seperti ini menimpa keluarga masing-masing, walaupun sukar untuk menerima kenyataan tetapi hidup perlu diteruskan,” katanya.
Sementara itu, jiran keluarganya, Merlinda Budin, 22, menyifatkan kejadian tragik itu sebagai ketentuan Ilahi dan memerlukan masa untuk diterima keluarga berkenaan.
“Saya berpeluang berbicara dengan ibu Dirang, Roselyn semalam dan dia masih terkejut dengan kejadian ini.
“Kami akan tetap memberikan sokongan terhadap keluarga Roselyn untuk mereka menghadapi dugaan ini,” katanya.
sumber : mymetro

No comments:
Post a Comment