Partime Job

Thursday, 15 March 2012

Risiko buta

Jangan abai kesihatan mata, glaukoma curi penglihatan secara senyap

KIRA-KIRA 8.4 juta orang di seluruh dunia hilang penglihatan kedua-dua belah mata akibat glaukoma, pada 2010 dan dijangka meningkat kepada 11.1 juta, menjelang 2020. Jumlah berkenaan membayangkan glaukoma antara penyakit yang mengancam kesihatan manusia pada dekad akan datang jika individu mengambil sikap enteng terhadap fenomena itu.

Sebenarnya, tanpa disedari setiap individu seolah-olah mengabaikan kesihatan mata masing-masing apabila menggosok mata dengan kuat ketika bangun tidur, terdedah kepada habuk, menghabiskan masa lama di hadapan skrin komputer dan menonton televisyen.
Meskipun keadaan berkenaan tiada kaitan dengan penyakit mata dan glaukoma, namun kita wajar menghargai pancaindera itu kerana ia organ penting kepada manusia.

Ia adalah penyakit berkaitan saraf mata yang menyebabkan tekanan mata meningkat dengan tinggi dan mengakibatkan kerosakan pada saraf optik serta medan penglihatan terganggu. Glaukoma yang tidak dirawat akan menyebabkan penghidap mengalami buta.

Glaukoma adalah punca kepada buta nombor dua selepas katarak. Penghidap glaukoma tidak akan menyedari mereka sebenarnya menghidapnya glaukoma kerana tiada sebarang isyarat pengenalan terhadap penyakit yang meragut penglihatan dengan senyap ini.

Dalam kalangan penduduk Asia, kadar penularan glaukoma adalah 2.4 peratus hingga lima peratus dengan kebanyakan kes adalah glaukoma sudut terbuka primer (POAG) menyebabkan beban dan kesan ekonomi akibat penyakit ini bukan saja terpaksa ditanggung pesakit, tapi juga oleh sistem penjagaan kesihatan.
Pakar Mata Jabatan Oftalmologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof Madya Dr Mimiwati Zahari, berkata dua jenis glaukoma yang lazim dialami penghidapnya iaitu glaukoma sudut terbuka dan tertutup sudut.

Katanya, glaukoma sudut terbuka adalah paling biasa dialami yang mana cecair akueus yang biasanya beredar di bahagian hadapan mata disekat mengalir keluar dari mata melalui sistem saliran kecil. Ini menyebabkan tekanan di dalam mata meningkat dan boleh merosakkan saraf optik.

“Glaukoma sudut tertutup pula membabitkan iris mata beralih dan menutup saliran dan menghalang aliran cecair aqueos. Keadaan ini membawa kepada kerosakan saraf optik dan mendatangkan kesakitan,” katanya.

Penyakit berkenaan juga tidak memberikan sebarang tanda awal kedatangannya dan individu dan selalunya menyangka masalah penglihatan kabur adalah disebabkan peningkatan usia.

“Kesedaran perlu ada pada kita terhadap penjagaan mata. Cara paling berkesan mencegah glaukoma ialah pengesanan awal dengan menjalankan pemeriksaan tahunan bagi individu berusia 45 tahun ke atas.

“Walaupun tiada cara untuk menyembuhkan glaukoma, pengesanan awal dapat mengawal penyakit ini dalam kebanyakan kes. Ramai yang mungkin pernah mendengar perkataan glaukoma, tapi tidak menyedari bahawa penyakit ini boleh menyebabkan buta atau kehilangan penglihatan yang tidak boleh dipulihkan dan menjejaskan kualiti hidup,“ katanya.

Sehubungan itu, walaupun tidak mempunyai sebarang masalah dengan mata atau tidak mengalami kesakitan pada mata, apabila usia mencecah 40 hingga 45 tahun, wajar sekiranya mengambil langkah berjaga-jaga dengan melakukan pemeriksaan mata di hospital berdekatan.

“Apabila membuat diagnosis glaukoma, pesakit dikehendaki menjalani beberapa ujian bagi menentukan tekanan dalam mata, rupa bentuk saraf optik, medan penglihatan, sudut dalam mata yang mana iris bertemu kornea dan ketebalan kornea. Ini akan membantu menentukan diagnosis yang tepat.

“Selepas diagnosis glaukoma, matlamat rawatan untuk mengurangkan tekanan mata intraokular untuk mencegah kerosakan kepada saraf optik. Rawatan peringkat pertama ialah ubat titisan mata dan ada beberapa jenis di pasaran yang berfungsi cara sama,” katanya.

Ubat titis itu menyenangkan kerana ia hanya perlu dititiskan sekali sehari dan memudahkan pesakit.

Setiap pesakit memerlukan sehingga tiga jenis ubat titisan berlainan. Jika glaukoma bertambah teruk dan pesakit tidak serasi dengan ubat atau tidak patuh kepada arahan penggunaan, pembedahan perlu dilakukan.


Buta akibat glaukoma

PENGASAS Persatuan Glaukoma Malaysia, Stevens Chan, berkata beliau berhadapan saat getir apabila disahkan buta akibat glaukoma sehingga mengubah seratus peratus kehidupannya.

“Saya mengalami sakit kepala yang teruk lalu mengunjungi klinik untuk membuat pemeriksaan, selain pandangan menjadi kabur. Klinik pertama saya kunjungi hanya memberi ubat sakit kepala dan ubat titik mata.

“Selepas dua hari, sakit kepala masih belum hilang dan mata juga tetap kabur. Saya mengunjungi satu lagi klinik dan doktor di klinik terbabit menyuruh saya membuat pemeriksaan lanjut di Hospital Mata Tun Hussein Onn,” katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Universiti Malaya, baru-baru ini.

Apa yang menghairankan, beliau tidak pernah mengalami masalah dengan mata termasuk pedih mata, cuma pandangan semakin kabur dari sehari ke sehari.

“Di hospital pakar itu, saya disahkan mengalami glaukoma pada mata kanan. Ketika itu bacaan tahap tekanan mata saya mencecah 60 dan ia sangat tinggi. Sepatutnya bacaan normal adalah 20 saja.

“Selepas menjalani ujian demi ujian, saya disahkan menghidap glaukoma pada 2002. Selain ubat-ubatan, doktor juga menyarankan saya melakukan pembedahan mata untuk mengubatinya. Selepas mata kanan, mata kiri pula kabur dan akhirnya mengalami natijah sama.

“Semua nasihat dan saranan doktor saya ikut dan sehinggalah dua tahun lalu saya berhenti mengambil semua jenis ubat dan tidak menjalani rawatan lain kerana sudah hilang kedua-dua belah penglihatan. Kehidupan juga berubah, glaukoma tiada sebarang simptom ia mencuri penglihatan dalam senyap,” katanya berbaur sedih.

Sempena minggu glaukoma sedunia bermula 11 hingga 17 Mac, pelbagai kegiatan dianjurkan Persatuan Glaukoma Malaysia antaranya larian amal Run For Sight di Presint 3, Putrajaya pada 17 Mac. Maklumat lanjut mengenainya, sila emel kepada joinus@glaukomal.org.

INFO

Glaukoma

* Sering dihidapi individu berusia 40 tahun ke atas.
* Ia tidak menunjukkan sebarang simptom terhadap penghidapnya.
* Glaukoma tidak mempunyai penawar untuk sembuh, tapi terdapat ubat-ubatan untuk mengawalnya.
* Lakukan pemeriksaan mata setahun sekali apabila anda mencecah usia 40 tahun
* Sekiranya ada penghidap glaukoma, patuhi nasihat doktor dari segi pengambilan ubat.
* Glaukoma juga dikatakan penyakit yang diwarisi daripada keturunan.

sumber : bharian-ratu

No comments: