Partime Job

Monday 19 March 2012

Remaja lumpuh kemalangan 'dapat bantuan'


KOTA BHARU- Tidak seperti remaja lain yang ligat ke sana ke mari dengan aktiviti sosialnya, namun semua itu tidak lagi dilalui anak kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mohd Shahril Ramle, 22.

Mohd Shahril terlibat kemalangan jalan raya setelah motosikal ditungganginya bertembung dengan motosikal kawannya di Kampung Chengal, Ketereh, di sini empat tahun lalu.

Akibatnya, dia mengalami nasib malang apabila kepalanya cedera teruk dan badannya pula lumpuh, hanya mampu terlantar di katil sahaja.

Bapanya yang juga pesara tentera, Ramle Ismail, 50-an berkata, anak lelakinya itu mengalami kemalangan jalan raya pada usia 19 tahun dan sekarang ini masih berada pada keadaan sama pada usia 22.

“Bayangkan selama empat tahun kami terpaksa menjaganya yang lumpuh, tidak boleh bercakap (seperti orang strok) dan hanya mampu menggerakkan mata sahaja.

“Sekarang ini, kedua-dua tangannya berpelukan kejang dan setelah empat tahun buat fisioterapi, kekejangannya berkurangan, manakala kaki pula mengecil,” katanya yang kini menjadi pengawal keselamatan dan tinggal di Kampung Chengal, Ketereh, di sini.

Menganggap semua yang berlaku sebagai ujian dan Mohd Shahril adalah amanah Allah SWT, keluarga berkenaan bergilir-gilir menjaga remaja istimewa itu bersama isteri dan anak-anak yang lain.

“Saya mempunyai enam anak dan kini sudah bersara dengan ATM, sudah lama saya mengimpikan untuk membeli katil dan tilam hospital untuk keselesaan Mohd Shahril,” katanya.

Mujur ada yang membantu, Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM mengambil langkah prihatin dengan menyumbangkan katil dan tilam hospital serta kerusi roda dengan kos kira-kira RM2,000 di bawah Skim Bantuan Kebajikan JHEV.

Timbalan ketua Pengarah JHEV, Mohd Fauzi Eshak semasa lawatan kebajikan ke rumah keluarga tersebut berkata, keluarga berkenaan masih perlu dibantu dalam apa jua bentuk sumbangan.

“Dengan nasib yang menimpa Mohd Shahril, masyarakat perlu membantu keluarga ini memandangkan ahli keluarga yang ramai dan masih bersekolah,” katanya.

Mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh melawat Mohd Shahril dan keluarga di Lot 1255, Kampung Chengal, Ketereh, di sini atau menghubungi talian 014-8222115 (Ramle).

sumber : sinarharian

No comments: