Nyahkan Jeragat Daripada Wajah
Malu berhadapan dengan orang sekeliling gara-gara masalah jeragat? Usah berputus asa dan cuba atasi masalah itu dengan kaedah petua tradisional. Apa yang diperlukan hanyalah bahan-bahan yang mudah didapati seperti kunyit hidup, beras yang direndam dengan air, limau nipis dan juga putih telur. Langkah pertama, beras dan kunyit hidup ditumbuk sehingga lumat. Setelah itu perahkan limau nipis dan masukkan pula putih telur. Gaulkan kesemua bahan ini sehingga sebati. Apabila siap, terus sapukan pada wajah dan tunggu sehingga kering sebelum dibilas dengan air suam. Akhir sekali, lapkan wajah dengan menggunakan kain bersih. Selamat mencuba.
Norhayati binti Besar,
Kuala Terengganu, Terengganu.
Atasi Lingkaran Hitam Bawah Mata
Tidak kira lelaki atau wanita, masalah hitam di sekeliling mata boleh menjadi sesuatu yang membimbangkan. Jika kepenatan atau kurang tidur, ia akan menjadi lebih teruk sekali gus mencacatkan penampilan. Cuba petua ini dan sediakan satu sudu jus tomato, setengah sudu jus lemon, satu sudu tepung gandum serta secubit serbuk kunyit. Gaulkan kesemua bahan itu tadi sehingga sebati dan sapukan pada sekitar mata. Biarkan selama 10 minit dan kemudiannya dibilas dengan air bersih. Bagi mendapatkan hasil yang diingini, amalkan petua ini setiap malam sebelum masuk tidur.
Noridah bt Abdullah,
Stulang, Johor.
Jus Tembikai Menegangkan Kulit
Memiliki wajah tegang merupakan dambaan setiap wanita terutamanya yang usianya kian meningkat. Pelbagai produk di pasaran menawarkan bantuan agar impian ini dapat dicapai. Dalam masa yang sama, ada kaedah atau petua yang lebih mudah untuk mengekalkannya. Caranya ialah dengan hanya menyediakan buah tembikai yang kemudiannya dikisar menjadi jus. Setelah itu, toskan dan sapukan pada wajah. Biarkan buat seketika iaitu antara 10 sehingga 15 minit sehingga ia kering dengan sendirinya. Petua ini digalakkan diamalkan sebanyak tiga kali dalam seminggu.
Jumaliah bt Md. Salleh,
Kepala Batas, Kedah.
Pastikan Kaki Sentiasa Cantik
Kecantikan kaki juga harus dititikberatkan kerana ia akan memberikan keyakinan ketika melangkah. Ia akan kelihatan kurang cantik apabila sakit, contohnya lenguh-lenguh dan terasa bisa. Buat wanita yang sering menyarung kasut tumit tinggi, masalah ini bagaikan perkara biasa. Begitu juga mereka yang perlu berdiri lama atau pun berjalan jauh. Dalam situasi ini, apa yang diperlukan ialah setengah baldi daun serai wangi yang dididihkan bersama-sama enam helai daun sirih. Selepas naik bau serai, campurkan dengan sedikit air sejuk agar menjadi suam. Rendamkan kaki selama 10 minit dan gosok dengan daun sirih.
Norhaslin Sulaiman,
Klang, Selangor.
* Dapatkan lebih banyak tips dalam majalah Seri Dewi & Keluarga edisi April
No comments:
Post a Comment