Partime Job

Friday 30 March 2012

Pelaku ‘sakit minda

KUALA LUMPUR: “Mereka (penyimbah asid) sebenarnya dalam kategori orang tidak normal dan ‘sakit minda’ kerana merasakan diri begitu seronok bila melakukan jenayah apatah lagi menyebabkan mangsanya berasa sakit,” kata Pegawai Psikologi Kanan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, Sulaiman Selamat.

Sulaiman berkata, individu yang mempunyai tingkah laku destruktif seperti itu berkecenderungan membinasakan orang lain semata-mata untuk memenuhi kepuasan diri.


“Dari sudut psikologi, perlakuan mereka sebenarnya dikategorikan sebagai orang tidak normal dan bersikap tidak berperikemanusiaan kepada mangsanya, selain merasakan diri lebih seronok melihat orang lain berasa sakit.

“Bagi dia (pelaku) perbuatan itu (menyimbah asid) sebagai satu permainan. Sama ada mereka pernah melaluinya (menjadi mangsa) ataupun sebaliknya, tetapi tingkah laku mereka berkecenderungan membinasakan orang lain,” katanya.


Beliau mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam, mengenai kejadian menyimbah asid dilakukan lelaki bermotosikal muncul semula membabitkan dua kejadian.


Insiden itu menyebabkan seorang guru dan pelajar cedera ketika menunggu bas, manakala seorang kontraktor melecur muka dan rabun sebelah mata selepas disimbah ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

Sulaiman berkata, tingkah laku destruktif yang sering berlaku di kalangan kanak-kanak menyebabkan golongan itu mempunyai mekanisme ‘bela diri’ apabila dewasa lebih-lebih lagi sering menjadi mangsa buli ketika kecil.


“Mungkin ketika kecil mereka pernah menjadi mangsa simbahan asid dan mempunyai perasaan dendam. Tanpa disedari dan di bawah minda tidak sedar mereka mula membalasnya, lebih-lebih lagi menganggap diri ‘super hero’ kerana mahu membalas dendam kepada orang yang lebih lemah,” katanya.

Menurutnya, dibimbangi sekiranya beberapa kejadian yang dilaporkan bukan angkara pelaku sama, sebaliknya individu lain yang menjadikan kes terdahulu sebagai ikutan.


“Persoalannya, apakah kes yang kerap kali dilaporkan berhasil menemukan penjenayahnya dan apakah mangsa tidak mampu mengingati wajah orang itu? Siapakah pula mangsa berikutnya selepas ini? “Kalau pelakunya individu sama tidak mengapa, tetapi lebih ditakuti perbuatan itu menjadi ikutan kepada kanak-kanak ataupun orang nakal, sekali gus menjadikan jumlah penjenayah melakukan perbuatan itu lebih daripada dua orang,” katanya.


Menurutnya, sebagai langkah keselamatan, setiap individu perlu mengelak daripada keluar berseorangan diri selain mencari teman yang boleh dijadikan sebagai saksi kejadian.


“Sedarlah, pergerakan kita diperhatikan penjenayah yang semakin berani. Janganlah terlalu bersikap ambil mudah kerana aktiviti jenayah semakin lama semakin rumit,” katanya.

sumber : mymetro

No comments: