Partime Job

Wednesday 28 March 2012

Pekerja tuntut MPK tunai janji

KANGAR - Lebih 100 bekas pekerja bahagian perkhidmatan bandar di Majlis Perbandaran Kangar (MPK) menuntut pihak berkuasa tempatan (PBT) itu mengotakan janji memberikan emolumen dan ganjaran sebagaimana dinikmati penjawat awam lain walaupun sudah ditukarkan ke syarikat swasta.

Wakil pekerja, Amran Johari, 41, berkata, sebahagian besar pekerja terbabit yang kini ditukarkan ke syarikat Environment Idaman Sdn Bhd (E-Idaman) sejak dua tahun lalu, diarahkan menandatangani persetujuan untuk ditukarkan ke syarikat swasta itu ataupun berhadapan kemungkinan diberhentikan kerja.

Menurutnya, MPK memberi alasan pemberhentian kerja kepada kesemua kakitangan tetap itu terpaksa dilakukan memandangkan PBT itu tidak mempunyai tambahan kuota pekerja rendah awam (PRA) untuk membolehkan mereka diserapkan ke bahagian itu.

“Sewaktu kami diberikan taklimat tawaran bekerja di E-Idaman oleh pegawai MPK dan syarikat itu, kami diberitahu kesemua ganjaran, emolumen dan bonus yang akan dinikmati penjawat awam, turut dinikmati kami dalam tempoh lima tahun walaupun bukan lagi bekerja di bawah PBT itu.

“Bagaimanapun, setelah dua tahun perkhidmatan di syarikat ini, kami semua menerima pemberian sagu hati RM500 cuma sekali pada tahun 2010, manakala pengumuman sagu hati lain serta kenaikan gaji yang dinikmati penjawat awam sehingga kini langsung tidak diterima kami,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di Sungai Batu Pahat, di sini semalam.

Amran berkata, walaupun mereka semua diserapkan ke dalam E-Idaman dengan status pekerjaan tetap, namun kesemua bekas kakitangan MPK terbabit bimbang dengan masa depan mereka susulan perjanjian kontrak pengurusan sisa pepejal negeri Perlis dimeterai syarikat swasta itu dengan MPK hanya tempoh lima tahun semata-mata.

Menurutnya, mereka juga berasa terkilan kerana tiada sebarang pampasan diberikan MPK sebagai ganjaran di atas tahun perkhidmatan mereka walaupun ada dalam kalangan mereka berkhidmat melebihi 20 tahun.

“Sebelum kami ditukarkan ke E-Idaman, pada mulanya kami semua tidak bersetuju dengan kata dua diberikan MPK yang dilihat seolah-olah cuba menyingkirkan kami secara tidak langsung dan berkeras meminta cadangan itu dipertimbangkan semula.

“Bagaimanapun, MPK tetap meneruskan keputusan itu dan memaksa kami menandatangani surat pemberhentian kerja tanpa dibenarkan meneliti dahulu kandungan surat itu.

“Lebih menyedihkan, kira-kira sebulan selepas kami ditukarkan, MPK melaksanakan pengambilan rekrut PRA baru dengan bilangan ramai dan kami mula mempertikaikan alasan awal yang diberikan kepada kami,” katanya.

Amran turut menegaskan tujuan kenyataan media ini dikemukakan semata-mata untuk menuntut hak mereka pekerja dan bukannya hendak merayu supaya dipertimbangkan masuk ke dalam MPK lagi.

Menurutnya, perkara ini sebenarnya sudah diadukan ke Pejabat Buruh Kangar dan Pulau Pinang dan siasatan ke atas kes ini masih dilakukan agensi terbabit.

“Setakat ini kami tiada masalah dengan pengurusan E-Idaman, bagaimanapun kami bimbang akan nasib kami sekiranya perjanjian pengurusan sisa pepejal di antara syarikat itu dengan MPK tidak disambung selepas kontrak tamat tahun 2015.

“Saya mohon hak dan status kami diperjelaskan secara terperinci oleh kedua-dua pihak terbabit bagi mengelak hak kami diketepikan," katanya.

sumber : sinarharian

No comments: