KANGAR — Lepasan institusi pengajian tinggi (IPT) bukan sahaja perlu memanfaatkan ilmu yang mereka perolehi untuk menjana pemikiran baru tetapi perlu berani berjuang demi kepentingan masyarakat, titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail semalam.
Bagaimanapun, baginda bertitah, perjuangan mereka harus menjurus kepada perkara yang betul bagi menangani masalah di hadapan mereka.
Bertitah pada majlis Konvokesyen ke-6 Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Pauh dekat sini, baginda berharap, ilmu yang mereka miliki mampu mentransformasikan sektor pekerjaan ke arah yang lebih cekap dan berkesan.
Baginda bertitah, proses menuntut ilmu tidak ada penghujungnya dan ia tidak akan terhenti apabila para graduan menerima diploma dan sijil masing-masing.
Sehubungan itu, baginda bertitah, para graduan perlu sentiasa membina azam untuk meneruskan pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi.
"Setelah memasuki alam pekerjaan, setiap graduan perlu bekerja keras, sentiasa berfokus, ikhlas dan mengukuhkan keupayaan diri untuk dihormati dan disegani dalam bidang masing-masing,” titah baginda. — BERNAMA
No comments:
Post a Comment