Thursday, 15 March 2012
Kaji sistem saliran elak banjir
KUANTAN - Masalah banjir yang tidak berkesudahan di Taman Tas Jaya, Jalan Gambang sejak tujuh tahun lalu memerlukan kajian khusus mengenai sistem saliran bagi mengelak penduduk di situ berdepan situasi sama setiap tahun.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Taman Tas Jaya, Dusti Yusoff berkata, masalah banjir sering berlaku di kawasan itu didapati berpunca daripada sistem perparitan yang tidak sistematik sejak awal penduduk tinggal di situ.
Menurutnya, kawasan perumahan yang terletak di kawasan rendah menyebabkan air mengalir daripada kawasan berdekatan melimpah ke taman itu sehingga menyebabkan banjir setiap tahun.
“Kami sudah lali dengan banjir setiap tahun tetapi sampai bila penduduk harus berdepan dengan situasi sama menjelang musim tengkujuh.
“Pihak bertanggungjawab perlu melihat keadaan yang berlaku di sini dan mengkaji semula sistem perparitan yang lebih baik,” katanya ketika ditemui pada Program Hari Keluarga Taman Tas Jaya, di sini.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi KRT Taman Tas Jaya, Borhanuddin Rani dan Penolong Pegawai Perpaduan Daerah Kuantan, Tuan Asmarawati Tuan Nor.
Dusti berkata, penduduk di taman tersebut pernah berdepan dengan banjir besar pada 2005 apabila air memasuki rumah setinggi satu meter.
Katanya, taman yang mempunyai hampir 300 penduduk itu perlu mendapat pembelaan sewajarnya kerana tidak sanggup berpindah randah setiap kali musim tengkujuh.
“Saya berharap pihak bertanggungjawab turun padang melihat situasi di sini dan mencari penyelesaian yang sesuai dengan keadaan,” katanya.
Menerusi program itu, kira-kira 250 penduduk termasuk kanak-kanak memeriahkan hari keluarga yang menjadi aktiviti tahunan di situ dengan pelbagai acara.
sumber : sinarharian
Labels:
Berita
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment