Partime Job

Tuesday 3 April 2012

Bapa cam mayat anak berdasarkan tatu, cincin

HATYAI, SONGKHLA: “Saya percaya dan yakin 99 peratus mayat yang tidak dikenal pasti ini anak saya selepas melihat tatu di belakang badannya selain mengecam cincin pada jari tangan kirinya,” kata Tan Hee Pong, 63, bapa kepada lelaki warga Malaysia, Tan Peng Chan, 40, yang dilaporkan hilang selepas letupan bom di tempat letak kereta B2 Hotel Lee Garden Plaza di sini, Sabtu lalu.

Hee Pong yang juga pengusaha restoran, berkata dia percaya gambar mayat yang ditunjukkan pihak Hospital Songkhla Nagarind (HSN) kepadanya adalah anaknya dari Kuala Kedah, Kedah, yang hilang dalam kejadian letupan berkenaan.


Menurutnya, pihak hospital tidak membenarkan melihat mayat anaknya, sebaliknya memberinya gambar mayat anaknya itu.

Katanya, dia perlu bersabar walaupun sudah memastikan mayat lelaki itu adalah anaknya, namun perlu mendapat pengesahan daripada pihak hospital yang melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengesahkan identiti.


“Saya akan menunggu di Hatyai sehinggalah keputusan DNA dikeluarkan Rabu ini (esok) dan yakin ia sepadan dengan DNA saya yang diambil kira-kira jam 11 pagi semalam (kelmarin) sebaik tiba di HSN,” katanya.


Difahamkan, mangsa maut akibat terbakar hampir keseluruhan badannya apabila berada di kawasan tempat letak kereta yang menjadi lokasi letupan bom terbabit.

Konsul Besar Malaysia di Songkhla, Mohd Aini Atan berkata, jika ujian DNA mangsa dan bapanya sepadan, Peng Chan akan menjadi mangsa kedua rakyat Malaysia maut dalam letupan bom itu.


Menurutnya, keluarga mangsa sudah membuat proses pengecaman mayat lelaki yang rentung, namun tidak dapat memastikan ia ahli keluarga mereka.


sumber : mymetro

No comments: