Partime Job

Friday 30 March 2012

Diarah bayar RM40juta

KUANTAN - Kerajaan Negeri diarah membayar ganti rugi RM40,021,409 kepada sebuah syarikat perladangan, Spag’n Plantation Sdn Bhd berhubung perlanggaran kontrak kelulusan Projek Ladang Hutan atas tanah kerajaan seluas 1,416.45 hektar di Mukim Penyor, Pekan yang diluluskan Januari 1999.

Keputusan dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Datuk Mariana Yahya selepas beliau mendapati tindakan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (Upen) dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPP) yang turut dinamakan sebagai defendan dalam tuntutan saman itu membatalkan kontrak serta menyerahkan kelulusan projek itu kepada syarikat lain adalah tidak sah.

Menurut beliau, tiada sebarang keterangan daripada kedua-dua pihak menunjukkan kelulusan itu diserah atau ditarik balik secara sah.

“Plaintif layak diberi pampasan sewajarnya kerana berjaya membuktikan tuntutan itu selepas kegagalan defendan mematuhi perjanjian tersebut,” katanya.

Mengambil kira segala hujah dan keterangan semua pihak, Mariana dalam keputusannya mengarahkan Kerajaan Negeri membayar ganti rugi am berjumlah RM39,274, 136 dan ganti rugi khas, RM747,273 kepada Spag’n Plantation Sdn Bhd dengan faedah 4 peratus berkuat kuasa dari tarikh penghakiman semalam sehingga penyelesaian penuh.

Plaintif diwakili peguam K Ganesan manakala Kerajaan Negeri diwakili Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Mat Zara`ai Alias.

Berdasarkan hujah kehakiman yang dibacakan, Spag’n Plantation Sdn Bhd yang yang berpengalaman luas dalam sektor perladangan getah memfailkan saman itu pada 3 Ogos 2004 menuntut ganti rugi berjumlah RM180 juta terhadap Kerajaan Negeri berhubung pelanggaran perjanjian itu.

Dalam tuntutan itu, plaintif menuntut ganti rugi khas berjumlah RM747,273 manakala ganti rugi am sebanyak RM120.4 juta terhadap kerugian daripada hasil pengeluaran kayu balak, susu dan kayu getah dengan faedah lapan peratus setahun.

Projek ladang hutan secara pajakan selama 60 tahun untuk tanaman getah itu dibawa ke mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 28 April 1999 untuk kelulusan.

Pada 23 Januari 1999, defendan memaklumkan permohonan itu telah diluluskan dan plaintif diminta membayar kos ukur tanah berjumlah RM185, 325.

Pada masa yang sama, sijil pembersihan hutan bagi kerja-kerja mengeluarkan kayu balak dikeluarkan berkuat kuasa November 2001.

Bagaimanapun pada 28 Februari 2002, keputusan itu ditangguhkan atas alasan keluasan sebenar tanah dan kesanggupan plaintif membayar ganti rugi RM548,448.

Plaintif melalui suratnya bersetuju terhadap keluasan tanah yang diberikan serta sanggup membayar ganti rugi yang ditetapkan malah bersedia untuk melaksanakan projek tersebut.

Bagaimanapun sebelum perjanjian itu ditandatangani, salah seorang pengarah syarikat, memaklumkan kepada defendan projek itu tidak dapat diteruskan dan bersetuju kelulusan itu diserahkan kepada sebuah syarikat lain.

Bagaimanapun ahli lembaga pengarah yang lain tidak bersetuju dengan keputusan tersebut sehingga membawa kepada satu mesyuarat bersama defendan bagi menyelesaikan masalah dalaman yang berlaku.

Hasil mesyuarat itu defendan meletakkan syarat sekiranya persefahaman antara ahli lembaga pengarah syarikat tidak dapat dicapai, kelulusan itu akan dibatalkan.

sumber : sinarharian

No comments: