Partime Job

Friday, 2 March 2012

Mangsa Simbah Asid Berkurung

GUA MUSANG: Derita seorang remaja perempuan berusia 18 tahun yang buta serta cacat akibat disimbah cuka getah selepas dirogol oleh bapa tirinya tiga tahun lalu berpanjangan apabila dia hanya berkurung di dalam rumah malah berdepan masa depannya tidak menentu.

Remaja itu, Nor Ain Abdul Aziz, 18, juga bagaikan sudah berputus asa apabila enggan meneruskan usaha memulihkan wajahnya dengan melakukan pembedahan plastik susulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.


Menurutnya, dia malu keluar rumah dan lebih rela bersendirian tanpa bergaul dengan orang lain.

“Bagaimanapun, saya tetap tabah menghadapi ujian Allah SWT walaupun hidup terasing dengan rakan sekampung. Sebelum ini kehidupan saya ceria bersama mereka, namun kini saya perlu reda dengan apa yang berlaku pada diri saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Mutiara, Aring, dekat sini, semalam.


Nor Ain berkata, dirinya menyimpan impian belajar di sekolah pondok bagi mendalami ilmu agama tetapi apabila memikirkan keadaan dirinya yang cacat, dia melupakan terus impian itu.


“Dalam keadaan saya yang cacat dan buta, saya tidak mahu menyusahkan orang lain. Jika saya belajar di sekolah pondok, sudah semestinya saya memerlukan bantuan orang lain seperti memimpin saya berjalan,” katanya.

Kisah Nor Ain pernah menggemparkan masyarakat pada Ogos 2009 apabila bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Ciku, Gua Musang yang ketika itu berusia 15 tahun menjadi mangsa kerakusan bapa tirinya di sebuah kebun di Rancangan Tanah Felda Aring Enam, tidak jauh dari rumahnya.


Dia dirogol dan disimbah cuka getah sebelum berjalan keluar dari kebun berkenaan sejauh 100 meter bagi mendapat pertolongan manakala bapa tirinya membunuh diri dengan meminum cuka getah berkenaan.

Selepas kejadian ngeri itu, dia kemudiannya menerima rawatan lebih empat bulan di HUSM selain terpaksa hidup tertekan akibat kecacatan pada mukanya.


Ibunya, Nor Azizah Jusoh, 36, berkata, anaknya itu sudah berulang kali menerima rawatan di HUSM termasuk melakukan pembedahan plastik di hidung dan telinga namun membuat keputusan enggan menjalani pembedahan susulan.


“Nor Ain beritahu keadaan wajahnya tidak akan berubah dan dia sanggup menanggung derita dengan berkurung di dalam rumah kerana malu.


“Saya sering menasihatinya supaya meneruskan pembedahan tetapi dia enggan,” katanya.

Sumber : Harian Metro

No comments: