LEDANG: “Bangunlah, jangan tinggalkan saya,” kata seorang wanita ketika memeluk jenazah suaminya selepas lelaki berkenaan meninggal dunia akibat kemalangan di Kilometer 1, Jalan Muar-Tanjung Agas di sini, kelmarin.
Kehadiran wanita dikenali sebagai Yee di tempat kejadian menyebabkan orang ramai sedih apabila enggan melepaskan mayat suaminya sebelum dipujuk ahli keluarga lain, kira-kira 30 minit kemudian.
Yee dikatakan bergegas dari rumahnya di Jalan Kim Kee di sini, selepas mengetahui suaminya, Low Kia Hin, 51, meninggal dunia ketika memandu dipercayai akibat serangan darah tinggi.
Menurutnya, dia masih tidak percaya suaminya sudah tiada kerana sebelum keluar rumah, mendiang kelihatan sihat.
“Saya masih tidak percaya dia sudah meninggal dunia. Semua ini bagai mimpi,” katanya.
Saksi kejadian, Sa’yon Hamid, 66, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 4.45 petang ketika dia berehat di ruang tamu rumahnya, kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.
Menurutnya, pada mulanya, dia melihat sebuah kereta seolah-olah ‘terbang’ disusuli bunyi dentuman kuat.
“Saya terus bergegas keluar dan nampak sebuah Perodua Kancil berada dalam parit.
“Memang pelik kerana kereta itu tiba-tiba terbang ketika menghampiri simpang,” katanya.
Katanya, dia kemudian terus melihat mangsa yang ketika itu begitu lemah dan mulut berbuih.
“Mungkin lelaki itu diserang penyakit ketika memandu menyebabkannya hilang kawalan dan keretanya terbabas sebelum seorang rakan mangsa menghubungi ambulans Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.
“Mangsa disahkan sudah meninggal dunia tidak lama selepas itu,” katanya.
Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tangkak untuk dibedah siasat.
“Hasil bedah siasat mendapati kematian mangsa berpunca akibat tekanan darah tinggi dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
No comments:
Post a Comment