Partime Job

Friday, 2 March 2012

Api Di Dapur Tangga

MARANG: Seorang warga emas kerugian RM300, 000 apabila rumah dua tingkat didiaminya bersama empat ahli keluarga hangus dijilat api dalam kebakaran di Kampung Rhu Rendang, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa, Rokiah Hamzah, 65, yang menjahit baju panik selepas seorang daripada dua cucunya memberitahu ada api di tangga dapurnya.


Suri rumah itu berkata, dia bernasib baik kerana sempat melarikan dua cucunya, Mohd Alif Fathuddin, 11, dan Humairah Shamimi Sharul Nizam, 4, sebelum api merebak ke bahagian dalam rumah.

“Saya hanya memikirkan untuk menyelamatkan cucu ketika itu dan tidak peduli dengan barang bernilai dan dokumen penting lain.


“Syukur ketika saya keluar rumah yang sedang marak dijilat api itu, orang kampung berpusu-pusu menghulurkan bantuan.


“Walaupun masih terkejut dengan kejadian itu, namun saya bersyukur kerana kami semua terselamat,” katanya yang masih trauma.

Suaminya, Ngah Ibrahim, 69, berkata ketika kebakaran dia berada di pusat bandar Kuala Terengganu untuk membeli barang keperluan.


Menurutnya, dia yang panik selepas mendapat berita daripada saudaranya bergegas pulang.

“Keadaan trafik perlahan membuat saya risau dan mengambil masa hampir sejam untuk sampai ke rumah. Namun, sebaik tiba di situ, rumah yang didiami sejak 10 tahun lalu hanya tinggal abu,” katanya.


Tukang rumah itu berkata, wang tunai serta barang kemas berjumlah RM10,000 milik isterinya musnah manakala 30 peratus bahagian rumah abang iparnya, Salleh Ibrahim, 53, terjejas dijilat api dalam kebakaran itu.


Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Rozizah Abnihajar berkata, seramai 12 anggota dengan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu serta Marang bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan jam 3.10 petang.


Bagaimanapun, katanya, kebakaran di rumah terbabit berjaya dikawal daripada merebak ke rumah berhampiran 20 minit kemudian.

Sumber : Harian Metro

No comments: