Partime Job

Wednesday 21 March 2012

Umat harus belajar urus kemarahan

DR ASYRAF WAJDI DUSUKI
Waktu terluang Ahad lalu, penulis mengambil kesempatan melayari beberapa siri rakaman ceramah politik di Youtube, tidak kira oleh penceramah parti pembangkang mahupun pemerintah. Daripada pengamatan penulis, kebanyakan penceramah politik masa kini semacam sudah tercabut nilai dan akhlak Islam yang hakiki.

Sering kali ucapan dan ceramah disampaikan pencacai-pencacai politik lebih tertumpu pada serangan peribadi dan kutukan keras antara satu sama lain dengan menggunakan bahasa-bahasa kesat dan kasar yang langsung tidak menggambarkan akhlak pemimpin Islam sejati.

Apa lebih menggusarkan sikap segelintir politikus berkecenderungan untuk menjustifikasikan perilaku songsang mereka di sebalik api kemarahan atas nama menuntut kebenaran dan keadilan walaupun jelas tindakan dan pengucapan mereka bertentangan dengan prinsip dan roh Islam sebenar.

Persoalannya, adakah benar tindakan mereka didasari tuntutan dan kehendak Islam berteraskan kebenaran dan keadilan? Apakah cukup dengan mendakwa matlamat mereka murni dan luhur, maka halal segala bentuk tingkah walaupun nyata bertentangan dengan akhlak Islam itu sendiri?

Kedangkalan budaya politik masa kini antara lainnya amat terkait dengan kegagalan manusia mengawal dan membendung kemarahan dalam diri hingga tergamak melakukan perbuatan yang pastinya tidak langsung mencerminkan prinsip dan nilai Islam yang sejati.

Inilah antara dilema dalam realiti umat Islam hari ini. Belenggu kemarahan dan dorongan emosi melulu tanpa berfikir secara rasional atas landasan ilmu yang sahih sering kali menjurus mereka kepada tindakan yang bukan sahaja memberi implikasi negatif kepada diri tetapi juga imej Islam.

Dalam perspektif Islam, senjata paling ampuh untuk mengelakkan diri daripada terjebak perilaku tidak rasional lagi tidak beradab ialah dengan cara mengawal kemarahan. Inilah juga wasiat Rasulullah SAW selaku guru, mursyid dan pemimpin agung ketika Baginda diajukan persoalan oleh Abu Dardak r.a. yang amat berkeinginan menempuh jalan ke syurga, sekali gus mengecap keredhaan ALLAH.

Beliau meminta supaya Rasulullah SAW mewasiatnya dengan wasiat yang ringkas sehingga mampu menjiwai wasiat tersebut. Lalu Baginda SAW menyahut permohonannya dengan memberikan sebuah wasiat yang abadi: “Jangan Marah”. Sahabat tersebut mengulangi pertanyaan berkali-kali, namun Rasulullah tetap bersabda “Jangan Marah” (Hadis Riwayat Bukhari).

Secara luarannya tampak kata-kata ringkas Rasulullah SAW ini seperti wasiat biasa kepada sahabatnya. Namun, jika dihalusi didapati kata-kata tersebut merupakan ungkapan keramat yang amat besar maknanya terhadap pembentukan peribadi mukmin sejati, sekali gus menjadi prasyarat terpenting survival Islam zaman berzaman.

Malah wasiat agar membentengi diri dari sifat marah ini jugalah yang menjelmakan suatu generasi baru dalam masyarakat Arab yang sebelumnya terbelenggu dengan sikap agresif penuh amarah. Namun kedatangan Islam telah mentransformasikan moral bangsa Arab hingga berjaya mengubah watak dan peribadi jahiliah kepada akhlak kenabian.

Mengekang sifat marah pada masa sama memartabatkan sikap lemah-lembut, kasih sayang dan penuh berhemah juga merupakan akhlak kenabian yang amat ditekankan ALLAH SWT sebagaimana ternukil dalam Surah Ali-Imran ayat 134: “Dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaaafkan kesalahan-kesalahan orang. Dan ingatlah ALLAH amat mengasihi orang yang berbuat perkara-perkara baik.”

Firman ALLAH menguatkan lagi hujah betapa umat Islam tidak seharusnya memanifestasikan kemarahan dengan melakukan perbuatan di luar batasan akhlak dan syariat termasuklah menghamburkan kata-kata yang tidak sopan lagi tidak beradab.

Oleh sebab itulah, mengawal kemarahan merupakan perkara asas yang amat penting untuk kembali dijiwai dan dihayati. Mengawal kemarahan mampu membataskan manusia daripada terus terjerat dalam kancah perilaku tidak rasional lagi membinasakan.

Menjiwai wasiat Nabi mampu membentuk suatu generasi yang benar-benar dapat memartabatkan Islam, sekali gus merealisasikan harapan dan citra besar umat seluruhnya pada masa depan.

sumber : sinarharian

No comments: