Partime Job

Thursday 22 March 2012

Tiga kampung dilanda ribut


RIM - Hujan lebat dan ribut yang melanda beberapa kampung di sini sekitar jam 3.30 petang semalam merupakan kejadian paling teruk sepanjang tahun ini apabila lebih sepuluh rumah penduduk terjejas biarpun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Antara kawasan terlibat ialah Kampung Rim, Kampung Simpang Kerayong dan Rumah Awam Simpang Kerayong serta Kampung Sin Ban Bee sekali gus mengembalikan ingatan penduduk terhadap kejadian sama yang melanda Bazar Ramadan Rim hingga meragut tiga nyawa pada dua tahun lalu.

Mangsa, Zainal Kalam, 73, berkata, ketika kejadian dia bersama isterinya berada di ruang tengah rumah dan dikejutkan dengan bunyi kuat sebelum menyaksikan zink rumahnya diterbangkan angin sejauh lebih 20 meter.

Menurutnya, biarpun sebelum ini kampungnya pernah dilanda ribut, namun ini kali pertama mereka sekeluarga berdepan detik-detik mencemaskan apabila lebih 50 keping zink rumahnya tercabut.

“Saya harap pihak berkenaan dapat membantu membaik pulih kerosakan dalam masa terdekat berikutan bimbang sekiranya berlaku litar pintas susulan peralatan elektrik yang terdedah,” katanya.

Hadir turun padang, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim, Mohd Yazed Khamis; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Murad Husin; Pegawai Daerah Jasin, Eusoff Roslan; Pengerusi Pembela Barisan Nasional (BN) Melaka, Amir Hamzah dan Penghulu Jawatankuasa Pembangunan dan Penyela­rasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Rim, Norazmi Mahmood.

Bagi pengusaha kedai runcit di Simpang Kerayong, Rosli Ithnin, 49, berkata, sejak mengusahakan kedai abangnya lebih 10 tahun lalu, ini pertama kali kedainya dilanda ribut.

Sementara itu, seorang lagi mangsa dari Rumah Awam Simpang Kerayong, Mohammad Haseri Mohd Som, 27, berkata, seorang anak jirannya cedera di kepala susulan terhempap kayu siling ketika dia sedang menyorok di dalam bilik.

“Bagaimanapun, nasib baik tiada kemalangan jiwa berlaku,” katanya sebelum membuat laporan di Balai Polis Rim.

sumber : sinarharian

No comments: