Partime Job

There was an error in this gadget

Friday, 2 March 2012

Tangani kerenah si kaki rajuk


FITRAH seorang manusia mahu dilayan dengan baik sebagai manusia. Sebagai manusia kita mahu difahami, diterima, dihormati, disayangi, diberi perhatian, diberi sokongan dan dipercayai. Dalam usaha mendapatkan perhatian, ada yang bersikap sensitif dan mudah merajuk agar dirinya dipujuk.

Namun, ada ketikanya, sikap sensitif itu melampaui batasan. Ada yang sanggup merajuk tidak bertempat. Hakikatnya, memang ada individu seperti ini di sekeliling kita dan mereka perlu diurus dengan betul. Apatah lagi, jika si kuat merajuk itu adalah pasangan atau teman hidup kita.

Bagi menjadikan hubungan bersama pasangan lebih harmoni, kita perlu belajar mengenali pasangan setiap hari terutama pasangan yang mempunyai sikap kuat merajuk. Kita perlu belajar mengenal pasti punca yang menjadikan si dia merajuk. Apabila sudah tahu, elakkan daripada melakukan perkara yang tidak disukainya. Andai tidak sengaja atau terlupa, segeralah mohon maaf dan berjanji tidak akan mengulanginya.

Andai anda tidak pasti punca rajuknya, jangan dibiarkan. Usahakan untuk berbincang dan minta si dia berterus terang. Masalah utama komunikasi sesama setiap insan ialah memahami dan difahami.

Dalam tempoh 24 jam sehari, pastinya ada ruang masa yang indah antara anda dan si dia. Berkomunikasilah secara baik ketika si dia tenang. Gunakan masa terbaik ini untuk meluahkan rasa tidak senang anda dengan sikap rajuknya yang melampau.

Boleh mulakan dengan memujinya kerana sikap terbukanya. Luahkan anda suka dengan cara tersebut dan mengharapkan agar si dia terus bersikap terbuka dan tinggalkan sikap suka merajuk.

Sikap individu

Anda boleh menggunakan bahasa yang mudah dan tidak menyakitkan hati. Pastikan nada suara anda lembut, mendayu dan merayu, malah pastikan wajah anda dalam keadaan senyum atau lebih baik lagi, tertawa. Bila anda ketawa, dia tidak akan rasa anda menegurnya dan dia tidak terasa dengan teguran tersebut.

Sikap individu terbentuk melalui didikan, persekitaran dan kebiasaan dalam hidup. Berkemungkinan si kaki rajuk ini sudah terbiasa dengan layanan manja yang melampau daripada ibu bapa dan ahli keluarganya. Ini menyebabkan setiap permintaannya perlu dipenuhi dan dilayan sebaik-baiknya oleh orang lain termasuklah pasangannya.

Apabila sudah berterus terang, anda boleh bertindak. Usah peduli andai si dia merajuk pada perkara-perkara yang tidak wajar. Sehari dua mungkin dia akan bertambah merajuk, tetapi selepas itu, rajuknya akan hilang sendiri.

Pastikan anda dan si dia sama-sama mengamalkan doa Rabitah atau doa kasih sayang. Insya-Allah, amalan doa ini akan menyebabkan anda dan si dia sama-sama kekal di hati dan rapat serta mesra. Apabila rapat dan mesra, anda dan si dia akan lebih mudah bertoleransi dalam berkomunikasi.

Hakikat dalam hidup ini, kita tidak boleh berlebihan. Bersederhana itu lebih baik.

Analoginya mudah, kalau ditatang minyak yang sederhana penuh, pastinya lebih mudah daripada menatang minyak yang penuh, bukan?

Lantas, andai anda suka merajuk atau terlalu sensitif, sudah tiba masanya anda berubah. Merajuk itu perlu, malah boleh mengeratkan kasih sayang, tapi rajuk yang melampau boleh mendatangkan mudarat dan musibah dalam hubungan dengan sesiapa sahaja termasuk pasangan anda.

Jangan hipokrit dengan mengatakan: "Aku memang macam ini!" kerana perkataan 'macam' itu boleh menjadi macam-macam jika berkehendak.

Sumber : Kosmo -pesona

No comments: