Partime Job

Friday 9 March 2012

Sengsara 12 jam

KUALA LUMPUR: “Kami terpaksa memanjat lori pasir untuk menyelamatkan diri berikutan kereta ditenggelami air. Biarpun dalam kesejukan, lapar dan berhimpit-himpit, Alhamdulillah, kami terselamat selepas 12 jam terperangkap dalam banjir,” kata penyanyi, Shila Amzah, 22, yang terperangkap bersama rakannya yang juga pelakon, Sharnaaz Basir Ahmad, 27, dalam kejadian banjir kilat yang berlaku di Batu 12, dekat Hulu Langat, kelmarin.

Menurut Shila, sebelum kejadian, dia bersama ibunya dan Sharnaaz menikmati makan malam di sebuah restoran di Batu 12, namun ibunya terlebih dulu pulang ke rumah di Batu 9 selepas hujan.


“Sebelum pulang ke rumah, kami berhenti di sebuah stesen minyak dan ketika itu hujan begitu lebat hingga menenggelamkan jalan,” katanya.

Katanya, ketika itu, keadaan jalan tidak begitu teruk dan masih boleh dilalui menyebabkan mereka bertekad meneruskan perjalanan pulang.


“Namun, ketika melalui jalan curam, kami terperangkap dalam kesesakan luar biasa akibat banjir di sepanjang jalan hingga menenggelamkan kereta Proton Waja yang kami naiki,” katanya.


Menurutnya, berikutan tidak tahu berbuat apa-apa tambahan pula banjir semakin menenggelamkan keseluruhan kereta, mereka akhirnya bertekad memanjat lori pasir untuk menyelamatkan diri.

“Ketika itu, saya hanya berdoa kepada Allah semoga kami terselamat. Kami begitu sedih melihat anak kecil serta ratusan keluarga lain menerima nasib sama apabila terperangkap dalam banjir,” katanya.


Katanya, biarpun jarak perjalanan pulang ke rumahnya hanya kira-kira tiga kilometer tetapi disebabkan banjir yang begitu teruk, mereka tersadai selama hampir 12 jam bermula kira-kira jam 10 malam.

“Alhamdulillah, jam 10 pagi tadi (semalam) baru kami selamat tiba ke rumah dan syukur tiada kemalangan jiwa berlaku,” katanya.


Menurutnya, biarpun terselamat, kereta milik Sharnaaz mengalami kerosakan teruk dan terpaksa dihantar ke bengkel, semalam.

sumber : mymetro

No comments: