Partime Job

Thursday 22 March 2012

Risda sedia RM18 juta untuk pekebun getah, sawit


BOTA - Peruntukan sebanyak RM18 juta diterima oleh Risda Perak bagi menjalankan tanam semula getah dan kelapa sawit di kawasan seluas 2,000 hektar sekitar negeri ini, bagi tempoh empat tahun.

Sehubungan itu, Timbalan Pengarah Risda Negeri, Abd Halim Ramli menyeru pekebun kecil getah dan kelapa sawit yang tidak ekonomik membuat permohonan bantuan tanam semula dengan Risda.

Abd Halim berkata, langkah berkenaan merupakan antara usaha untuk membantu pekebun kecil berkenaan dan mereka seharusnya menyambar peluang yang disediakan.

“Kita mahu menggalakkan mereka untuk memohon bantuan tanam semula dan pekebun kecil getah serta sawit boleh mendapatkan borang permohonan di mana-mana pejabat Risda berhampiran.

“Untuk pekebun sawit, Risda telah menyediakan peruntukan sebanyak RM7,000 bagi sehektar tanah, manakala untuk pekebun getah, kita telah naikkan peruntukan daripada RM7,000 ke RM9,320 sehektar,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Penyampaian Dividen Tanam Semula Komersial (TSK) Risda Daerah Perak Tengah, di sini.

Hadir sama, Adun Bota, Datuk Nasaruddin Hashim; Adun Blanja, Datuk Mohd Zaim Abu Hasan; Pegawai Risda Daerah Perak Tengah/Kinta, Abdul Aziz Awang dan Pengurus Risda Plantation Manjung, Syed Hamid Syed Hassan.

Katanya, kenaikan kadar bantuan tanam semula untuk pekebun getah turut meliputi input-input pertanian seperti baja serta benih dan pemilik tanah kosong juga boleh memohon bantuan ini jika berminat.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan sebanyak RM1,109,219.45 dividen untuk bulan Januari dan Februari diserahkan kepada pekebun di Perak Tengah dalam majlis berkenaan.

Sementara itu, Syed Hamid berkata, peserta TSK mampu memperoleh dividen antara RM500 hingga RM600 sebulan daripada hasil kebun getah dan sawit mereka.

Menurutnya, pembayaran dividen dibuat sebanyak empat kali setahun, iaitu pada tiga bulan sekali dan pembayaran kali ini melibatkan 31 projek sawit dan 12 projek getah.

“Untuk projek tanam semula sawit, kita telah mempunyai seramai 1,337 peserta setakat ini, manakala 461 lagi merupakan peserta projek tanam semula getah,” katanya

sumber : sinarharian

No comments: