Partime Job

Thursday 8 March 2012

RHB Bank bantu jejak kanak-kanak

JOHOR BAHRU: “Saya berharap bantuan RHB Bank Berhad (RHB) yang menyalurkan maklumat kehilangan Dirang kepada orang awam dapat membantu usaha mengesannya.

“Kehilangan Dirang meninggalkan kesan mendalam kepada kami sekeluarga, apatah lagi dia anak yang manja dan tidak banyak kerenah,” kata Roselyn Alan, 25, ibu kepada Nur Nadirah Abdullah, 5, atau Dirang yang dilaporkan hilang sejak 1 Mac lalu.


Menurutnya, kehilangan Dirang ketika keluar membeli mi segera mendapat perhatian pengurusan bank itu yang menghubunginya semalam.

“Kami sudah bertemu beberapa kakitangan RHB yang datang ke rumah dan mereka memberitahu akan membantu memberikan hebahan berkaitan kehilangan Dirang.


“Bagi saya, bantuan itu besar nilainya dan hanya Allah dapat membalas jasa mereka,” katanya.


Roselyn berkata, mereka sekeluarga kini hanya mampu berdoa selain tidak berhenti melakukan solat hajat dalam usaha mempermudahkan urusan mengesan anak keduanya itu.

Sementara itu, Pengarah Korporat RHB, Norazzah Sulaiman berkata, usaha menjejaki Dirang sudah dijalankan sejak kelmarin selepas menerima maklumat polis.


Menurutnya, maklumat kanak-kanak itu serta gambarnya sudah dipaparkan dalam laman web rasmi RHB serta lebih 1,800 mesin juruwang automatik (ATM) di seluruh negara.

“Selain itu, setiap kakitangan kami diberikan maklumat dan mula mengedarkan poster kepada orang awam bermula kelmarin.


“Usaha ini lebih ditekankan di tempat tinggal mangsa dan kawasan sekitar selain menempatkan beberapa kakitangan kami di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK), Bangunan Iskandar dan Link Kedua bagi menyerahkan poster,” katanya.


Katanya, selain itu, pihaknya juga membeli iklan memaklumkan kehilangan Dirang yang akan disiarkan dalam beberapa media cetak dan elektronik bagi mempermudahkan usaha mengesan kanak-kanak berkenaan. “Saya berharap dengan bantuan ini sedikit sebanyak membantu keluarga dan polis mengesan Dirang. “Usaha mencari dan mengesan kanak-kanak hilang ini antara program kami dan ini kes keenam sejak program itu dilancarkan pada 2007,” katanya.

sumber : myMetro

No comments: