Partime Job

Wednesday 21 March 2012

Pungutan zakat melalui kaunter pos meningkat

KUALA LUMPUR - Pusat Pungutan Zakat (PPZ) hari ini mengumumkan berjaya mengutip zakat sebanyak RM232,870 melalui kaunter pos bagi tiga bulan pertama tahun ini, menunjukkan kesedaran di kalangan masyarakat Islam di Wilayah Persekutuan semakin meningkat.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Mohd Rais Alias berkata ia merupakan peningkatan 29 peratus daripada RM179,808
bagi tiga bulan pertama tahun lepas.

"Peningkatan jumlah juga bertambah disebabkan jumlah pembayar semakin meningkat bagi tempoh sama iaitu 17 peratus (391 orang) berbanding tahun lepas 335 orang. Setiap tahun jumlah kutipan dan pembayar di kaunter Pos Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menunjukkan peningkatan ketara seiring dengan perkhidmatan cemerlang serta kempen yang dijalankan," katanya kepada pemberita pada Majlis Anugerah Kaunter Angkat dan Kecemerlangan Kaunter Pos 2011 di Wisma PPZ hari ini.

Pada majlis itu, Mohd Rais menyampaikan anugerah kepada kaunter angkat serta kaunter pos sebagai tanda terima kasih dan penghargaan di atas khidmat cemerlang yang diberikan sepanjang tahun lepas.

Beliau berkata anugerah kaunter pos dibahagikan kepada lima kategori iaitu Anugerah Jumlah Kutipan Zakat Tertinggi, Anugerah Bilangan Pembayar Zakat Tertinggi, Anugerah Pejabat Pos Sentiasa Menerima Bayaran, Anugerah Pejabat Pos Tertinggi Peningkatan Kutipan Zakat dan Anugerah Pejabat Pos Tertinggi Peningkatan Pembayar Zakat.

Pada tahun ini, Anugerah Jumlah Kutipan Zakat Tertinggi diterima Kaunter Pos Cawangan Bandar Tun Razak dengan kutipan RM50,512 pada tahun lepas berbanding RM33,977 pada 2010.

Mohd Rais berkata sepanjang 2005 sehingga 2011, kutipan zakat di kaunter pos berjumlah RM3.39 juta dengan 3,193 pembayar, yang melakukan pembayaran menerusi tiga kaedah pembayaran iaitu kaunter pejabat pos, kaunter pos bergerak dan Internet pos online. - Bernama

No comments: