Partime Job

Wednesday 21 March 2012

Penghantar surat diperintah bela diri

KUALA LUMPUR - Seorang penghantar surat hari ini diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan merompak seorang anggota tentera membabitkan RM462, dua tahun lepas.

Hakim Azwarnida Affandi membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Affendy Mohd Ariffin, 30, di akhir kes pendakwaan.

"Setelah mendengar keterangan saksi-saksi pendakwaan dan mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes.

Oleh itu tertuduh diperintah membela diri," katanya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh membela diri bermula hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, Affendy didakwa merompak beg berwarna merah milik Suzana Mohd Sidek yang mengandungi beg duit, telefon bimbit jenama Nokia dan wang tunai RM12 yang keseluruhannya bernilai RM462 di Jalan Semarak, Sentul di sini pada pukul 6.30 petang, 9 Julai 2010.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau disebat.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Aizam Aiza Zakaria telah memanggil seramai empat orang saksi manakala tertuduh diwakili peguam R. Thrichelvam. - Bernama

No comments: